Ahad, 30 Disember 2007

HUKUM KE ATAS DUIT SEWA DARI PENJUAL ARAK

Soalan; Apakah hukumnya ke atas wang sewa yang diambil dari penyewa yang menjual minuman yang haram iaitu arak?

Jawapan;

Setiap yang membantu perkara yang diharamkan oleh agama, ia juga adalah haram. Di dalam al-Quran Allah menegah kita dari saling membantu dalam perkara dosa dan permusuhan;

“Dan saling tolong-menolonglah kamu dalam (mengerjakan) kebaikan dan takwa, dan jangan saling tolong-menolong dalam membuat dosa dan permusuhan. Dan bertakwalah kamu kepada Allah, sesungguhnya Allah amat berat siksa-Nya”. (al-Maidah: 2)

Khusus bagi kemusykilan saudara –iaitu menyewa tempat untuk peniaga yang menjual arak-, terdapat sabda Nabi s.a.w. menegaskan;

لعن الله الخمر، وشاربها وساقيها، وبائعها ومبتاعها، وعاصرها ومعتصرها، وحاملها والمحمولة إليه، و آكل ثمنها

“Allah melaknat arak, melaknat orang yang meminumnya, yang menghidangnya untuk diminum (oleh orang lain), yang menjualnya, yang membelinya, orang yang memerahnya, yang minta diperahkan untuknya, orang yang membawanya, orang yang dibawa arak kepadanya dan orang yang memakan harganya (yakni hasil jualannya)”. (Riwayat Abu Daud dan al-Hakim dari Ibnu Umar; Al-Jami’ as-Soghir, no. 7253 (soheh))

Perhatikan di dalam hadis di atas. Allah bukan hanya melaknat orang yang membuat arak, menjual atau meminumnya, tetapi juga melaknat semua yang terlibat dengannya termasuklah orang yang memerahnya dan menolong membawanya. Menurut ulamak; setiap dosa yang dilaknat oleh Allah maka dosa itu tergolong dalam dosa besar, bukan dosa kecil.

Kesimpulannya, diharamkan kita membantu perkara dosa atau menggalakkannya termasuk menyediakan tempat untuknya sama ada percuma atau dengan sewaan. Menurut ulamak; hasil sewaan atau upah dari pembabitan dengan perkara yang dilarang oleh agama adalah haram, tidak harus digunakan dan tidak diberkati oleh Allah. Dikecualikan jika seseorang itu menyewa kenderaannya untuk mengangkut barang haram bagi dimusnahkan, maka hal tersebut diharuskan kerana ia membantu perkara makruf.

Wallahu a’lam.

Khamis, 27 Disember 2007

HUKUM MEMAKAI BRACES (PENDAKAP GIGI)

Soalan; Apakah hukum bagi seorang yang jongang memakai pendakap gigi (braces) bagi memperbetulkan keadaan giginya itu? Saya mendapati mereka yang jongang sering dipersendakan.

Jawapan;

Islam melarang manusia mengubah ciptaan Allah pada dirinya yang telah sempurna tanpa ada suatu keperluan atau darurat. Perbuatan ini akan mengundang laknat dari Rasulullah s.a.w. sebagaimana disebut oleh hadis;


لعن رسول الله صلى الله عليه وسلم الواشمة والموشمة، والواشرة والمستوشرة

“Rasulullah s.a.w. melaknat perempuan yang membuat tatu dan meminta dibuat tatu, perempuan yang menipiskan gigi dan yang meminta dinipiskan giginya”. (Riwayat Ibnu Jarir dari Ibnu ‘Abbas r.a.)

Namun jika ada keperluan seperti untuk membaiki kecacatan pada diri sama ada semulajadi atau kerana sebab-sebab mendatang seperti kemalangan, terbakar dan sebagainya, diharuskan kita melakukan pembedahan atau sebarang tindakan lain pada badan untuk membaiki kecacatan tersebut. Di dalam bukunya al-Halal Wa al-Haram Fil-Islam, Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradhawi menjelaskan; “Jika pada diri seorang insan itu terdapat kecacatan yang boleh menyakitinya sama ada dirasai secara fizikal atau secara mental (iaitu menimbulkan rasa rendah diri) setiap kali berada di dalam majlis atau singgah di satu tempat, diharuskan ia membaiki kecacatan tersebut selama niatnya ialah untuk menghilangkan kepayahan yang dihadapinya. Allah tidak menjadikan di dalam agama ini sebarang kepayahan ke atas kita”. Keharusan ini disokong oleh hadis yang mengaitkan laknat Allah ke atas perbuatan mengubah gigi tadi dengan tujuan semata-mata untuk menambah kecantikan dan mengubah ciptaan Allah (bukan kerana keperluan atau darurat), iaitu sabda Nabi s.a.w.;


لَعَنَ اللهُ الْوَاشِمَاتِ، وَالْمُسْتَوْشِمَاتِ، وَالنَّامِصَاتِ وَالْمُتَنَمِّصَاتِ، وَالْمُتَفَلِّجَاتِ لِلْحُسْنِ، الْمُغَيِّرَاتِ خَلْقَ اللهِ

“Allah melaknat perempuan-perempuan yang membuat tatu dan yang meminta dibuat tatu pada badannya, perempuan-perempuan yang minta dicukur alis (bulu keningnya) dan perempuan-perempuan yang menjarangkan giginya untuk kelihatan cantik iaitu perempuan-perempuan yang merubah ciptaan Allah”. (Riwayat Imam Bukhari dan Muslim dari Abdullah bin Mas’ud r.a.)

Imam Nawawi semasa mensyarahkan hadis di atas, beliau menegaskan; sabda Nabi s.a.w. “perempuan-perempuan yang menjarangkan giginya untuk kelihatan cantik” menunjukkan bahawa yang diharamkan ialah bagi orang-orang yang melakukan perkara tersebut (yakni mengubah gigi) untuk tujuan kecantikan semata-mata. Adapun kerana keperluan iaitu untuk mengubati atau untuk membaiki kecacatan pada gigi dan seumpamanya, maka diharuskan”. (Syarah Soheh Muslim, juz. 14, Kitab al-Libas Wa az-Zinah).

Jelaslah bahawa memakai braces (pendakap gigi) tidak termasuk di dalam perbuatan mengubah gigi yang dilaknat Allah dan RasulNya di dalam hadis di atas kerana tujuannya bukan untuk mengubah ciptaan Allah dengan sengaja tetapi untuk membaiki kecacatan pada gigi. Gigi yang jongang sekalipun tidak mendatang kesakitan pada fizikal, tetapi mendatangkan kesakitan pada mental kerana dipandang hodoh oleh orang lain, menyebabkan kita tidak selesa apabila berhadapan dengan orang lain.


Wallahu a’lam.

Rujukan;

1. al-Halal Wa al-Haram, Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradhawi, hlm. 87-88.
2. Soheh Muslim, Bisyarhi al-Imam an-Nawawi, juz. 14, Kitab al-Libas Wa az-Zinah, Bab Tahrim Fi’li al-Washilah Wa al-Mustaushilah….

Rabu, 26 Disember 2007

HUKUM MELUKIS KOMIK

Soalan;
Assalamualaikum
ustaz,
Saya menpunyai masalah berkaitan dengan hukum melukis komik.Saya minat utk melukis komik dan masalah saya ialah saya mendengar sesuatu hadis yang berbunyi mengatakan ''Allah melaknat tukang lukis''.Jadi saya pun gelisah dan saya ada niat nak melukis utk berdakwah jadi macam mana itu ustaz?

Jawapan;

Hukum melukis gambar bergantung kepada gambar yang dilukis dan tujuan ia dilukis. Perinciannya adalah seperti berikut;

a) Jika yang dilukis itu adalah gambar-gambar Tuhan yang disembah selain Allah seperti patung-patung berhala dan sebagainya, pelukisnya adalah kafir. Lukisan sebeginilah yang diancam dengan siksaan oleh Allah sebagaimana sabda Nabi s.a.w.;

إِنَّ أَشَدَّ النَّاسِ عَذَاباً يَوْمَ الْقِيَامَةِ الْمُصَوِّرُونَ
“Sesungguhnya manusia yang paling berat siksaannya di akhirat ialah para pelukis”. (Riwayat Imam Muslim).

Berkata Imam at-Tabari; “Pelukis yang dimaksudkan di sini ialah orang yang melukis Tuhan yang disembah selain Allah…”.

b) Diharamkan juga melukis dengan tujuan untuk menandingi ciptaan Allah, iaitu merasakan diri dapat mencipta dan membuat rekaan sebagaimana ciptaan Allah. Hal ini kembali kepada niat pelukis itu sendiri. Pelukis sebegini juga diancam dengan siksaan yang berat oleh Rasulullah s.a.w. dengan sabdanya;

أَشَدُّ النَّاسِ عَذَاباً عِنْدَ اللهِ يَوْمَ الْقيَامَةِ، الَّذِينَ يُضَاهُونَ بِخَلْقِ اللهِ
“Sesungguhnya manusia yang paling berat siksaannya di hari kiamat ialah orang-orang yang melakukan sesuatu untuk menandingi ciptaan Allah”. (Riwayat Imam al-Bukhari dan Muslim dari ‘Aisyah r.a.)

c) Diharamkan juga melukis gambar malaikat, para Nabi dan para sahabat iaitu orang-orang yang dimuliakan di sisi agama kerana dikhuatiri lukisan gambar mereka akan menjatuhkan kemuliaan mereka di samping berlakunya pemalsuan kerana tidak ada seorang pun yang hidup hari ini yang pernah melihat mereka.

d) Diharamkan juga melukis gambar tokoh-tokoh yang kufur, zalim atau fasik seperti pemimpin-pemimpin yang menentang Islam, memusuhi Syari’at Allah, penyanyi-penyanyi atau pelakon yang mendorong manusia kepada maksiat, memuja kebatilan dan sebagainya. Melukis gambar mereka merupakan pemujaan terhadap mereka sedangkan mereka adalah orang-orang yang dibenci oleh agama.

e) Diharamkan juga melukis gambar-gambar yang mendedahkan aurat, berunsur lucah dan menggairahkan nafsu dan sebagainya lagi yang dilarang oleh Syarak.

Kesimpulan, diharamkan melukis gambar-gambar yang menyalahi agama dan mengandungi unsur-unsur yang dilarang oleh Syari’at termasuk yang mendorong manusia kepada kekufuran, syirik, maksiat dan munkar. Adapun selainnya yang jauh dari perkara-perkara di atas, maka ia tidaklah diharamkan.

Sebenarnya, para ulamak mempunyai pelbagai pandangan dalam masalah melukis ini terutamanya jika objek yang dilukis itu adalah makhluk-makhluk bernyawa iaitu manusia dan binatang. Pandangan yang saya kemukakan di atas ialah pandangan yang ditarjih oleh Dr. Yusuf al-Qaradhawi dalam bukunya al-Halal Wa al-Haram Fil-Islam. Teruskan niat baik saudara untuk berdakwah melalui lukisan komik itu dengan menjaga batasan-batasan yang digariskan di atas.

Wallahu a’lam.

Rujukan;

1. al-Halal Wa al-Haram Fil-Islam, hlm. 103-106.

Isnin, 24 Disember 2007

HUKUM BERKHITAN ATAU BERSUNAT BAGI ANAK PEREMPUAN

Soalan; Adakah bersunat diwajibkan ke atas anak perempuan

Jawapan;


Berkhitan atau bersunat merupakan perkara yang disyari’atkan di dalam Islam. Sabda Rasulullah s.a.w.;

الْفِطْرَةُ خَمْسٌ -أَوْ خَمْسٌ مِنَ الْفِطْرَةِ- الْخِتَانُ، وَالاسْتِحْدَادُ، وَتَقْلِيمُ الأَظْفَارِ، وَنَتْفُ الإِبِطِ، وَقَصُّ الشَّارِبِ
“Lima perkara yang merupakan fitrah; berkhitan (bersunat), mencukur bulu kemaluan, memotong kuku, mencabut bulu ketiak dan menipiskan misai”. (Riwayat Imam Muslim dari Abu Hurairah r.a.)

Namun para ulamak berbeza pandangan tentang hukumnya;

Pertama; Menurut Imam Syafi’ie; hukum berkhitan (bersunat) adalah wajib ke atas lelaki dan juga perempuan.

Kedua; Mengikut Imam Abu Hanifah, Imam Malik dan Imam Hasan al-Basri; berkhitan hukumnya sunat sahaja sama ada ke atas lelaki atau perempuan. Berdasarkan penjelasan Imam Nawawi; pandangan ini merupakan pandangan jumhur (majority) ulamak.

Ketiga; Imam Ahmad pula berpandangan; ia wajib ke atas lelaki sahaja. Adapun ke atas perempuan, ia digalakkan sahaja.

Wallahu a’lam.

Rujukan;

1. Al-Fiqhul-Wadhih, Syeikh Dr. Muhammad Bakr Ismail, jil. 1, hlm. 128.
2. Nailul-Autar, asy-Syaukani, juz. 1, Kitab at-Toharah.
3. al-Khitan, Syeikh Jadul-Haq ‘Ali Jadul-Haq, hlm. 9-11.

Rabu, 19 Disember 2007

DAGING KORBAN UNTUK ORANG KAFIR

Soalan; Adakah harus daging korban diberikan sebagai hadiah kepada orang bukan Islam (contoh; jiran sebelah rumah yang bukan Islam)?

Jawapan;

Sebahagian ulamak mengharuskannya antara mereka ialah Imam Hasan al-Basri, Abu Hanifah dan Abu Tsur. Imam Malik pula memakruhkannya, malah beliau memakruhkan memberi kulit binatang korban kepada mereka. Begitu juga dengan Imam al-Laith memakruhkannya. Adapun pandangan ulamak-ulamak mazhab Syafi’ie;
a) Imam Nawawi mengharuskannya jika korban itu adalah korban sunat, bukan korban wajib.
b) Adapun ulamak-ulamak mazhab Syafi’ie yang lain –antaranya Syeikh Khatib as-Syirbini- mereka tidak mengharuskan daging korban diberikan kepada orang kafir.

Wallahu a’lam.

Rujukan;

1. Al-Majmu’, Imam an-Nawawi, jil. 8, hlm. 316.
2. Al-Iqna’, Imam as-Syarbini, jil. 2, hlm. 825.

TARIKH HARI RAYA YANG TIDAK SAMA

Soalan; Wukuf di Arafah jatuh hari rabu. Bagaimana mana Malaysia boleh raya hari khamis? Bukankah mesti ikut Arab Saudi?

Jawapan;

Firman Allah (bermaksud); “Mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad) mengenai (peredaran) anak-anak bulan. Katakanlah: ‘(Peredaran) anak-anak bulan itu menandakan waktu-waktu (bagi urusan dan amalan) manusia dan ibadah Haji”. (al-Baqarah: 189)

Firman Allah di atas menunjukkan bahawa peredaran anak-anak bulan adalah garis panduan bagi umat Islam dalam menentukan masa bagi ibadah-ibadah mereka termasuk puasa, hari raya (hari raya puasa atau hari raya korban), zakat, kitaran haid, iddah dan sebagainya.

Bagi Negara yang berjauhan antara satu sama lain, tidak mustahil berlaku perbezaan dalam penetapan masa ibadah berdasarkan rukyah atau melihat anak bulan tersebut -khususnya dalam masalah tarikh puasa dan hari raya- kerana matla’nya tidak sama. (*Matla’; tempat terbit atau tempat naik). Menurut ulamak, perbezaan itu diharuskan kerana ia berlaku pada zaman Nabi s.a.w. sendiri. Oleh demikian, bagi tarikh hari raya, umat Islam hendaklah mengikut tempat masing-masing kerana pesanan Nabi s.a.w.;

الصَّومُ يومَ تصُومُونَ، والفِطرُ يومَ تُفطِرُون، والأَضحَى يومَ تُضَحُّون
“Hari berpuasa bagi kamu ialah pada hari sekelian kamu berpuasa, hari berbuka kamu (yakni hari kamu menamatkan puasa Ramadhan dan menyambut ‘aidil-fitri) ialah pada hari kamu sekelian berbuka (yakni menamatkan puasa) dan hari berkorban bagi kamu (yakni ‘aidil-adha) ialah hari kamu sekelian berkorban”. (Riwayat Imam at-Tirmizi dari Abu Hurairah r.a.). Berdasarkan hadis ini, sebahagian ulamak menetapkan; “Puasa Ramadhan, menyambut hari raya ‘aidil-fitri dan hari raya korban hendaklah bersama masyarakat (orang Islam) dan orang ramai (yakni tidak boleh dilakukan sendiri-sendiri)”. (Faidhul-Qadier, hadis no. 5169).

Namun bagi urusan yang berkait dengan haji, umat Islam wajib mematuhi keputusan yang ditetapkan oleh Kerajaan Arab Saudi kerana kerja-kerja haji tidak berlaku di tempat lain selain di Arab Saudi. Oleh itu, hari wukuf di ‘Arafah hendaklah dilakukan pada 9 Zulhijjah berdasarkan ketetapan Arab Saudi. Begitu juga dengan puasa sunat hari ‘Arafah. Oleh kerana puasa tersebut disunatkan bersempena hari ‘Arafah, maka ia hendaklah dilakukan pada hari 9 Zulhijjah berdasarkan ketetapan kerajaan Arab Saudi, bukan berdasarkan negeri masing-masing.

Abu Qatadah r.a. menceritakan; “Rasulullah s.a.w. ditanya tentang puasa hari ’Arafah’. Baginda bersabda; “(Puasa hari itu) dapat menghapus dosa tahun lalu dan yang akan datang” (Riwayat Imam Muslim). Abu Hurairah r.a. menceritakan; “Sesungguhnya Nabi s.a.w. menegah dari berpuasa pada hari ‘Arafah bagi jamaah haji yang berada di ‘Arafah”. (Riwayat Imam Abu Daud, Ahmad, Ibnu Majah dan al-Hakim). Hadis-hadis ini menunjukkan bahawa puasa hari ‘Arafah hendaklah dilakukan bertepatan hari jemaah haji berwukuf di padang ‘Arafah.

Prof. Hamka pernah menyarankan; “Jika bersatu permulaan puasa, hari raya aidul-fitri dan hari raya aidil-adha di seluruh dunia, sehingga sama puasa kaum muslimin, sama berbuka dan sama hari raya haji, adalah satu hal yang baik sekali. Apatahlagi pada zaman sekarang dengan adanya alat-alat telekomunikasi yang cepat dapat menyampaikan berita di seluruh dunia. Hal yang seperti itu mungkin boleh dicapai”. (Lihat buku beliau; Membahas Kemusykilan Agama, hlm. 389). Saranan itulah yang kita harapkan dapat direalilasikan segera agar kecelaruan yang dihadapi oleh kaum muslimin hari ini tidak berterusan.

Wallahu a’lam.

Rujukan;

1. Tafsir al-Qasimi, Syeikh Jamaluddin al-Qasimi, jil. 1.
2. Faidhul-Qadir, Syarh al-Jami’ as-Saghier.
3. Membahas Kemusykilan Agama, Prof. Hamka.

Isnin, 17 Disember 2007

MENYUCIKAN BEKAS BERNAJIS KHINZIR

Soalan;

Saya ingin bertanya tentang daging babi; bagaimana caranya menyucikan bekas yang pernah diisi dengan daging babi? Ada pendapat yang menyatakan bahawa tanah boleh diganti dengan sabun. Adakah ini benar?

Jawapan;

Sebenarnya ulamak-ulamak berbeza pandangan tentang babi; adakah ia termasuk dalam najis berat (mughalladzah) –seperti anjing- yang perlu dibasuh tujuh kali (termasuk salah satunya dengan air bercampur tanah), atau ia terdiri dari najis biasa seperti arak, air kencing, tahi dan sebagainya yang mencukupi dibasuh dengan air seperti biasa (yakni tidak perlu dilangi hingga tujuh kali)?

Pertama; Jumhur atau majoriti ulamak berpandangan; ia sama seperti najis-najis yang lain, iaitu mencukupi dibasuh seperti biasa hingga hilang kesan-kesannya. Tidak perlu diulangi basuhan hingga tujuh kali dan tidak perlu menggunakan tanah. Bagi jumhur ulamak ini, najis berat hanya satu sahaja iaitu anjing. Dalil mereka ialah Sabda Nabi s.a.w.; “Apabila anjing menjilat bekas salah seseorang dari kamu, cara menyucikannya ialah dengan ia membasuhnya sebanyak tujuh kali, kali pertamanya dengan tanah”. (Riwayat Imam Muslim dari Abu Hurairah r.a.). Di dalam hadis ini, Nabi s.a.w. hanya menyebut anjing sahaja, tidak menyebutkan najis yang lain termasuk babi.

Kedua; mengikut mazhab Syafi’ie; babi sama seperti anjing, oleh itu ia mesti dibasuh sebanyak tujuh kali dan salah satu basuhan mesti dengan air bercampur tanah. Dalil mereka ialah dengan mengkiaskannya kepada anjing kerana babi lebih buruk keadaannya dari anjing di mana pengharaman memakannya adalah sabit dengan nas al-Quran, adapun pengharaman memakan anjing hanya sabit dengan ijtihad.

Kesimpulannya, jika kita memakai pandangan jumhur ulamak, bekas yang pernah diisi daging babi itu memadai membasuhnya sebagaimana membasuh najis yang lain; iaitu dengan menghilangkan kesan najis menggunakan air, tanpa perlu diulangi basuhan hingga tujuh kali dan tanpa perlu dicampur tanah. Namun jika kita memakai mazhab Syafi’ie, wajiblah diulangi basuhan tujuh kali dan salah satu darinya dengan air tanah.

Adakah harus tanah diganti dengan sabun atau sebarang bahan yang lain? Bagi masalah ini juga ada perbezaan pandangan di kalangan ulamak;

Pandangan pertama; tidak harus kerana cucian dengan tanah itu adalah arahan Syarak. Halnya sama seperti tayammum yang diarahkan oleh Syarak menggunakan tanah, maka tidak harus dialihkan kepada yang lain. Arahan menggunakan tanah itu bersifat ibadah, oleh itu tidak harus dinilai berdasarkan akal atau logic.

Pandangan kedua; harus tanah itu digantikan dengan sabun kerana penggunaan sabun lebih berkesan dari tanah dalam menghilangkan najis. Nabi menyebutkan tanah dalam hadis tadi bukan bertujuan membataskannya kepada tanah, tetapi untuk menegaskan perlunya penyucian najis berat itu dibantu dengan bahan lain di samping air. Masalah ini ada persamaannya dengan istinjak di mana selain dengan air, Rasulullah s.a.w. juga mengharuskan istinjak dengan batu. Menurut ulamak; walaupun nabi hanya menyebutkan batu, namun dikiaskan kepadanya bahan-bahan lain yang bersifat kesat dan berupaya menanggalkan najis seperti kertas, tisu kesat dan sebagainya. Nabi menyebut batu bukanlah bertujuan membataskannya kepada batu, tetapi untuk menjelaskan keharusan beristinjak dengan batu atau bahan-bahan lain yang mempunyai sifat yang sama.

Pandangan ketiga; Dalam keadaan terdapat tanah, wajiblah basuhan menggunakan tanah dan tidak harus berpindah kepada bahan yang lain sama ada sabun atau sebagainya. Jika tidak ada tanah, barulah harus menggunakan bahan yang lain menggantikan tanah.

Wallahu a’lam.

Rujukan;
1. At-Tahzib Fi Fiqh al-Imam asy-Syafi’ie, Imam al-Baghawi, 1/191-192.
2. al-Mughni, Imam Ibnu Qudamah, 1/64.
3. Rahmatul-Ummah Fi Ikhtilaf al-Aimmah, Abi ‘Abdillah Muhammad ibn Abdurrahman as-Dimasyqi, hlm. 7.

Ahad, 16 Disember 2007

BENARKAH HUKUM ISLAM KERAS DAN KEJAM?

Soalan; Bagaimana kita hendak memberi jawapan kepada orang yang berkata; “Hukuman Islam ke atas penzina, peminum arak, orang yang mencuri dan sebagainya terlalu keras, tidak sesuai dilaksanakan di dalam negara moden hari ini?

Jawapan;

Persoalan ini dijawab oleh Dr. Ahmad Syauqi al-Fanjari dalam bukunya Kaifa Nahkum Bil-Islam Fi Daulah ‘Asriyyah (Bagaimana kita hendak memerintah dengan Islam dalam negara moden?). Beliau menjelaskan;

“Hukuman-hukuman fizikal yang dibawa oleh Islam di anggap oleh dunia moden hari ini sebagai keras. Untuk menjawab tuduhan ini kita menyatakan; Ya, sememangnya ia keras jika dilaksanakan dalam masyarakat seperti Barat/Eropah hari ini. Namun ia tidak keras jika dilaksanakan di dalam masyarakat Islam. Kenapa? Kerana di dalam masyarakat Barat/Eropah, mereka memberi kebenaran kepada segala unsur yang merosakkan dan menyeleweng. Arak, pelacuran, penzinaan dan perkara-perkara yang mendorong seks dibenarkan dengan sokongan undang-undang sendiri. Apabila ada dari mereka yang mabuk dan hilang akal dan bertindak liar membunuh atau mencuri, tiba-tiba mereka ditangkap dan dipenjara. Tidakkah itu memperlihatkan pertentangan yang pelik.

Masuk akalkah, kamu menjual kepada orang ramai arak dan menggalakkan mereka meminumnya, kemudian kamu menghukum mereka apabila mereka mabuk disebabkan arak itu. Atau kamu membuka kepada orang ramai pintu-pintu kepada kerosakan dan perkara-perkara yang mendorong mereka kepada seks, kemudian kamu menghukum mereka apabila mereka keluar merogol/memperkosa anak-anak gadis di jalanan. Atau kamu mengemukakan kepada orang ramai filem-filem ganas yang memuja menonjolkan aksi mencuri, rompakan bank dan sebagainya, kemudian kamu menghukum mereka apabila mereka meniru aksi-aksi dalam filem tersebut.

Segala faktor penyelewengan di atas tidak akan ditemui dalam masyarakat Islam (yang sebenar) yang hidup dalam naungan sebuah negara Islam. Oleh itu, tidak ada alasan untuk sesiapapun melakukan penyelewengan selepas itu. Dan hukuman yang ditetapkan juga semestinya memberi ancaman dan bersifat tegas (kerana ia penting untuk menjaga masyarakat yang bersih itu dari diserapi penyelewengan dan kerosakan).

Selain itu –di sebalik hukuman yang keras itu- Islam amat teliti dan berhati-hati dalam melaksanakan hukuman-hukuman yang hendak dijalankan. Setiap hukuman mempunyai syarat-syarat yang jika tidak berjaya dipenuhi nescaya had/hudud tidak mungkin akan dijalankan. Syarat pertama ialah tidak ada sebarang keraguan dalam mensabitkan berlakunya jenayah. Sedikit sahaja keraguan yang wujud akan menolak hukuman had dari tertuduh. Jika ada seseorang menuduh orang lain tanda bukti dan saksi, dia berkemungkinan dikenakan hukuman had Qazaf sekalipun ia adalah pemerintah sendiri.

Hukuman potong tangan ke atas pencuri digugurkan jika barang yang dicuri nilainya kurang dari kadar minima yang ditetapkan Syarak atau pencuri mencuri kerana lapar atau ia mencuri kerana suatu keperluan atau ia adalah khadam bagi satu golongan dan mereka tidak memberi hak yang sewajarnya kepadanya.

Hukuman had ke atas penzina tidak akan dilaksanakan kecuali para saksi bersumpah bahawa mereka melihat perlakuan zina itu sebagaimana batang celak dilihat masuk ke dalam bekas celak. Ia suatu yang mustahil dari segi realitinya. Jika terbukti bahawa para saksi itu masuk ke dalam rumah secara sembunyi (yakni bukan melalui pintu) atau melakukan intipan, maka batallah kesaksian mereka.

Islam dalam sistem hukumannya sekali-kali tidak bertujuan membalas dendam. Islam lebih mementingkan taubat dari orang yang melakukan dosa dari menghukumnya. Oleh demikian, dalam hukum Islam seorang yang melakukan dosa jika ia menyedari kesalahannya dan bertaubat sebelum ditangkap oleh pemerintah, akan gugur darinya hukuman had. Ini berdasarkan firman Allah;


“Kecuali orang-orang yang bertaubat sebelum kamu dapat menangkapnya, (mereka terlepas dari hukuman itu). Maka ketahuilah, bahawasanya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani”. (al-Maidah: 34)

Ayat ini menjadi dalil terhadap kerahmatan dalam perlaksanaan hukuman hudud dan roh Islam untuk memperbaiki, bukan untuk membalas dendam.

Begitu juga, dalam hukum Islam, seorang yang mengingkari tuduhan zina yang dikenakan ke atasnya, ia tidak boleh dikenakan hukuman had kecuali disabitkan dengan empat orang saksi. Jika seorang lelaki mengaku melakukan zina dengan seorang wanita, namun wanita itu tidak mengakuinya, maka hukuman had hanya dijalankan ke atas lelaki dan tidak dijalankan ke atas wanita kerana yang dijadikan perkiraan ialah pengakuan dengan rela hati, bukan dengan paksaan.

Dalam hukum Islam juga, hukuman dijalankan secara terang-terangan iaitu dihadiri oleh bilangan ramai dari kaum muslimin. Ini berdasarkan ayat Allah;


“Perempuan yang berzina dan lelaki yang berzina, hendaklah kamu sebat tiap-tiap seorang dari keduanya seratus kali sebat; dan janganlah kamu dipengaruhi oleh perasaan belas kasihan terhadap keduanya dalam menjalankan hukum ugama Allah, jika benar kamu beriman kepada Allah dan hari akhirat; dan hendaklah disaksikan hukuman seksa yang dikenakan kepada mereka itu oleh sekumpulan dari orang-orang Yang beriman”. (an-Nur: 2)

Tujuannnya ialah untuk memberi pengajaran dan peringatan kepada orang ramai dan mencegah dari berulangnya kejadian dan peristiwa penyelewengan dalam masyarakat.

Kesimpulannya, hukuman atau hudud yang ditetapkan oleh Islam jika dilaksanakan di dalam suasana dan biah yang Islamik dan dengan memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan, tidak akan kelihatan padanya sebarang bentuk penzaliman atau penderaan, malah ia merupakan pembalasan yang adil yang tidak dapat dielakkan terhadap orang yang masih menyeleweng setelah Islam memberinya segala bentuk jaminan untuk menjalani kehidupan yang mulia dan lurus.

Cukup sebagai bukti (keberkesanan hukuman Islam itu) di mana sepanjang ia dilaksanakan pada zaman Rasulullah s.a.w., bagi hukuman potong tangan ke atas pencuri, hanya satu kes sahaja yang berlaku. Begitu juga, pada zaman Khulafa’ Rasyidin, hanya beberapa kes sahaja berlaku yang boleh dibilang dengan jari. Ini menunjukkan bahawa hukuman Islam jika dilaksanakan dalam suasana/biah yang Islamik, nescaya tidak akan banyak kes jenayah yang berlaku yang memerlukan kita untuk melaksanakan hukuman ke atasnya.

Sebagai bandingan, kita kemukakan di sini sejarah tatkala Soviet Union memutuskan satu ketetapan untuk mengenakan hukuman bunuh ke atas perasuah. Semasa Presiden Amerika Syarikat bertemu dengan Presiden Soviet Union, ia berkata kepadanya; “Hukuman yang keras tersebut menunjukkan bahawa nyawa manusia tiada nilai di sisi kamu”. Presiden Soviet menjawab; “Memang benar ia hukuman yang keras, namun sejak kami menguat-kuasakan hukuman tersebut tidak berlaku satupun kes rasuah dan kami tidak perlu untuk melaksanakannya”.

Rujukan;

1. Kaifa Nahkum Bil-Islam Fi Daulah ‘Asriyyah (Bagaimana kita hendak memerintah dengan Islam dalam negara moden?), hlm. 69-72.

Sabtu, 15 Disember 2007

PANDUAN MEMBERI NAMA ANAK

Soalan; Apakah panduan yang digariskan oleh Syarak dalam memberi nama anak yang baru dilahirkan? Apakah nama-nama yang paling baik? Dan nama-nama yang mana pula yang dilarang?

Jawapan;

Sunat memberi nama kepada bayi pada hari ia dilahirkan atau pada hari ketujuh kelahirannya. Ada ulamak berpendapat, jika bapa/penjaga tidak berniat melakukan aqiqah untuk bayinya, sunat ia memberi nama pada hari dilahirkan. Jika ia berniat untuk melakukan aqiqah, sunat ia menunggu hingga hari ketujuh untuk mengisytiharkan nama anaknya iaitu bersama dengan menyembelih aqiqah dan mencukur rambut. Sabda Nabi s.a.w.;

كُلُّ غُلاَمٍ رَهِينٌ بِعَقِيقَةٍ تُذْبَحُ عَنْهُ يَوْمَ سَابِعِهِ، وَيُحْلَقُ وَيُسَمَّى
“Setiap anak kecil (bayi) dipertaruhkan dengan suatu aqiqah; disembelih untuknya pada hari ke tujuh, dicukur kepalanya dan diberi nama”. (Riwayat Imam Abu Daud, Tirmizi, an-Nasai dan Ibnu Majah dari Hasan r.a. dari Samurah bin Jundub r.a.)

Jika bayi yang dilahirkan ditakdirkan mati sebelum diberi nama, disunatkan juga diberi nama kepadanya. Begitu juga, sunat memberi nama anak yang gugur. (Al-Majmu’, jil. 8, hlm. 327)

Dalam masalah meletakkan nama ini, hendaklah diberi perhatian perkara-perkara berikut;

a) Disunatkan memberi nama-nama yang elok dan baik kerana Nabi s.a.w. bersabda; “Sesungguhnya kamu sekelian akan diseru/dipanggil pada hari Kiamat dengan nama-nama kamu dan nama-nama bapa kamu. Oleh demikian, elokkanlah nama-nama yang kamu berikan”. (Riwayat Imam Abu Daud dari Abu Dardak r.a.)

b) Nama yang paling baik/paling elok ialah Abdullah dan Abdurrahman sebagaimana yang disabdakan oleh Rasulullah s.a.w.; “Sesungguhnya nama yang paling disukai oleh Allah dari nama-nama kamu ialah Abdullah dan Abdurrahman”. (Riwayat Imam Muslim dari Abdullah bin Umar r.a.)

c) Harus memberi nama sempena nama para Nabi seperti Ibrahim, Hud, Soleh, Muhammad dan sebagainya. Sabda Nabi s.a.w.; “Berilah nama dengan nama-nama para Nabi. Nama yang paling disukai oleh Allah ialah Abdullah dan Abdurrahman. Nama yang paling tepat (dengan hakikat manusia) ialah Harith (حارث) dan Hammam (همام), dan nama yang paling buruk ialah Harb dan Murrah”. (Riwayat Abu Daud, an-Nasai dan lain-lain dari Abi Wahb al-Jusyami r.a.). Sebagaimana sedia dimaklumi bahawa Nabi s.a.w. telah menamakan salah seorang anaknya dengan nama Ibrahim.

d) Menurut mazhab Syafi’ie, harus memberi nama dengan nama-nama Malaikat. Namun demikian, sebahagian ulama’ memakruhkannya. Berkata Qadhi ‘Iyadh; “Telah memakruhkan sebahagian ulama’ memberi nama dengan nama-nama Malaikat dan ia adalah pandangan al-Harith bin Miskin. Imam Malik memakruhkan memberi nama dengan Jibril dan Ya-sin”.

e) Dimakruhkan memberi nama dengan nama-nama yang buruk seperti Harb (perang), Murrah (pahit), Kalb (anjing), ‘Ashiyah (yang engkar), Syaitan, Dzalim, Himar (kaldai) dan sebagainya.

f) Diharamkan memberi nama dengan nama “Malikul-Amlak” yang bermaksud; ‘Raja bagi segala raja’. Sabda Rasulullah s.a.w.; “Sesungguhnya sehina-hina/seburuk-buruk nama di sisi Allah ialah seorang lelaki yang bernama Malikul-Amlak”. (Riwayat Imam Bukhari dari Abu Hurairah r.a.). Dalam riwayat yang lain, baginda bersabda; “Lelaki yang paling dimukai oleh Allah pada hari kiamat dan paling hina ialah lelaki yang diberi nama Malikul-Amlak (kerana hakikatnya) tiada raja melainkan Allah”. (Riwayat Imam Muslim dari Abu Hurairah r.a.) Berkata Imam Nawawi; berkata para ulama’; memberi nama dengan nama ini (yakni Malikul-Amlak) adalah haram. (Al-Majmu’, jil. 8, hlm. 328)

g) Hendaklah dijauhi dari nama-nama yang menunjukkan pengabdian/penghambaan kepada selain Allah seperti Abdul-Kaabah (Hamba Kaabah), Abdun-Nabi (Hamba Nabi), Abdul-‘Uzza (Hamba Tuhan ‘Uzza) dan sebagainya. Menurut Syeikh Abdullah Nasih ‘Ulwan; memberi nama dengan nama-nama ini hukumnya adalah haram dengan sepakat para ulama’. (Tarbiyatul-Aulad, jil. 1, hlm. 87).

h) Begitu juga, hendaklah dijauhi dari memberi nama dengan nama-nama yang menggambarkan hilang/leburnya jati-diri (sebagai seorang muslim), meniru-niru (nama orang bukan Islam) dan nama-nama yang menzahirkan cinta-berahi seperti nama Huyam (gila berahi), Susan dan sebagainya. (Tarbiyatul-Aulad, jil. 1, hlm. 87)

i) Disunatkan mengubah nama yang buruk atau yang tidak baik kerana Nabi s.a.w. telah melakukannya kepada para sahabat baginda. Ibnu Umar r.a. menceritakan;

أَنَّ رَسُولَ اللهِ -صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ- غَيَّرَ اسْمَ عَاصِيَةَ. وَقَالَ: "أَنْتِ جَمِيلَةُ".
“Sesungguhnya Rasulullah s.a.w. telah menukar nama (seorang perempuan bernama) ‘Ashiyah (yang bermaksud; perempuan yang engkar) di mana baginda berkata kepada (perempuan itu); ‘Kamu adalah Jamilah (bermaksud; yang indah)’”. (Riwayat Imam Muslim)

Said bin al-Musayyab menceritakan bahawa bapanya -yang bernama Hazn (bermaksud; susah/sedih)- telah datang kepada Nabi s.a.w., lalu baginda bertanya kepadanya; ‘Apa nama kamu?’. Jawab bapaku; ‘Hazn’. Lalu Rasulullah berkata; ‘Kamu adalah Sahl (yakni Nabi menukar namanya kepada Sahl yang bermaksud; mudah). Namun bapaku berkata; ‘Aku tidak akan menukar nama yang diberikan kepadaku oleh bapaku’. Said berkata; ‘(Dengan kedegilannya itu) maka berterusanlah huzunah (yakni kepayahan/kesedihan) membelenggu keluarga kami selepasnya’”. (Riwayat Imam Bukhari dari Said bin al-Musayyab dari bapanya)

Wallahu A’lam.

Rujukan;

1. Al-Majmu’, jil. 8, hlm. 325-329.
2. Ad-Darari al-Madhiyyah, Imam Syaukani, hlm. 391
3. Al-Azkar, Imam an-Nawawi, kitab al-Asma’.
4. Al-Iqna’, jil. 2, hlm. 826.
5. Soheh Muslim bisyarhi an-Nawawi, jil. 14, Kitab al-Adab.
6. Tarbiyatul-Aulad, jil. 1, hlm. 87.

Selasa, 11 Disember 2007

AQIQAH DENGAN LEMBU

Soalan; Adakah harus saya melakukan aqidah untuk anak saya dengan lembu?

Jawapan;

Asal binatang untuk aqiqah ialah kambing sebagaimana hadis riwayat Ummu Kurzin yang menceritakan; “Aku telah mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda (berkenaan Aqiqah);

عَنِ الْغُلاَمِ شَاتَانِ مُكَافِئَتَانِ، وَعَنِ الْجَارِيَةِ شَاْةٌ
“Bagi anak lelaki dua ekor kambing yang sekufu dan bagi anak perempuan seekor kambing”. (Riwayat Imam Ahmad dan Abu Daud. Menurut Imam as-Suyuti, hadis ini soheh. Al-Jami’ as-Saghier, no. 5623. Diriwayatkan juga oleh Imam at-Tirmizi, namun dari Saidatina ‘Aisyah r.a.. Menurut at-Tirmizi, ia adalah soheh)

Begitu juga, hadis dari Ibnu ‘Abbas r.a. yang menceritakan;

أَنَّ رَسُوْلَ اللهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيهِ وسَلَّمَ عَقَّ عَنِ الْحَسَنِ وَالْحُسَيْنِ كَبْشاً كَبْشاً
“Rasulullah melakukan aqiqah bagi Hasan dan Husin dengan (menyembelih) seekor kibas (untuk Hasan) dan seekor kibas lagi (untuk Husin)”. (Riwayat Imam Abu Daud)

Menurut mazhab Syafi’ie, harus aqiqah dengan unta, kerbau dan lembu, iaitu binatang-binatang yang harus dibuat korban. Sepertujuh (1/7) bahagian unta, kerbau atau lembu menyamai seekor kambing. Jadi seekor unta, kerbau atau lembu boleh dikongsi tujuh bayi untuk aqiqah. Dan harus juga orang yang melakukan aqiqah berkongsi dengan orang yang tidak berniat melakukan aqiqah seperti ia mengingini 1/7 atau 2/7 dari bahagian unta/lembu itu untuk aqiqah dan adapun bahagian selebihnya diingini oleh orang lain untuk dagingnya sahaja. Hukum ini sama sebagaimana dalam Korban.

Selain ulamak-ulamak mazhab Syafi’ie, sahabat nabi Anas bin Malik r.a. dan Imam Malik juga mengharuskan aqiqah dengan unta, kerbau dan lembu. Namun Imam Ibnu al-Munzir menaqalkan pandangan dari Hafsah binti Abdurrahman bin Abu Bakr yang berkata; tidak harus aqiqah melainkan dengan kambing.

Wallahu A’lam.

Rujukan;

1. Al-Fiqhul-Manhaji, jil. 3, hlm. 56.
2. Al-Majmu’, jil. 8, hlm. 321 dan 339-340.

AQIQAH

Soalan; Apakah hari terbaik untuk melakukan aqiqah anak? Apakah cara terbaik menguruskan daging aqiqah?

Jawapan;

Aqiqah bermaksud binatang yang disembelih untuk bayi yang dilahirkan. Untuk anak lelaki sunat disembelih dua ekor kambing, tetapi jika disembelih seekor sahaja sudah dikira mendapat pahala aqiqah. Adapun anak perempuan disunatkan seekor sahaja.

Hukum melakukan aqiqah adalah sunat muakkad bagi yang mampu. Nabi s.a.w. bersabda dalam hadisnya;

اَلْغُلاَمُ مُرْتَهِنٌ بِعَقِيْقَتِهِ: فَأَهْرِيْقُوْا عَنْهُ الدَّمُ، وَأَمِيْطُوا عَنْهُ الأَذَى
“Anak kecil itu dipertaruhkan dengan aqiqahnya[1], maka tumpahkanlah darah untuknya (yakni lalukanlah aqiqah untuknya) dan singkirkanlah kotoran darinya”. (Riwayat Imam al-Baihaqi dari Salman bin ‘Amir r.a.)

Harus melakukan aqiqah sebaik sahaja bayi sempurna dilahirkan. Namun masa terbaik ialah dilakukan pada hari ketujuh kelahirannya bersama dengan memberi nama dan mencukur kepala yang juga disunatkan pada hari tersebut.[2] Jika tidak dapat dilakukan pada hari ketujuh, disunatkan pada hari ke 14 (iaitu seminggu selepasnya). Jika tidak dapat pada hari ke 14, disunatkan pada hari ke 21 dan begitulah seterusnya (seminggu demi seminggu) hinggalah kepada umur baligh. Jika selepas baligh belum juga bayi diaqiqahkan, tidak dituntut lagi sunat aqiqah itu dari wali/penjaganya, akan tetapi digalakkan ia sendiri yang melakukan aqiqah untuk dirinya.

Jika bayi ditakdirkan mati selepas dilahirkan, apakah sunat juga diaqiqahkan? Ya, sunat dilakukan juga aqiqah bagi bayi yang mati sama ada mati sebelum hari yang ke tujuh atau selepasnya dengan syarat bapa/penjaga telah berpeluang melakukan aqiqah ketika berlakunya kematian bayinya (yakni ada kemampuan untuk melakukan aqiqah, namun ditangguhnya hinggalah ke saat bayinya mati).[3]

Pengurusan daging aqiqah

Pengagihan daging aqiqah sunat merangkumi tiga iaitu; dimakan oleh orang yang melakukan aqiqah dan keluarganya, disedekahkan kepada fakir miskin dan dihadiahkan kepada jiran atau sahabat-handai.[4] Namun tidak sebagaimana daging korban yang sunat diberikan mentah, daging aqiqah sunat dimasak, yakni disedekah atau dihadiahkan setelah dimasak. Masakan pula disunatkan yang manis sebagai bertafaul (yakni menaruh harapan baik) agar bayi yang dilahirkan itu akan manis/elok akhlaknya. Harus sama ada hendak menghantar daging yang dimasak itu ke rumah fakir miskin atau menjemput mereka memakannya di rumah. Namun menghantar masakan kepada mereka lebih afdhal dari memanggil/menjemput mereka ke rumah.

Namun dikecualikan dari dimasak itu kaki binatang korban[5] di mana ia sunat diberikan kepada bidan yang menyambut bayi (القابلة) dalam keadaan mentah (yakni tidak dimasak). Diriwayatkan dari Saidina Ali r.a. yang menceritakan bahawa Rasulullah s.a.w. telah menyuruh Fatimah r.a. di mana baginda bersabda;

زني شعر الحسين، وتصدقي بوزنه فضة، وأعطي القابلة رجل العقيقة
“Timbanglah rambut Husin dan bersedekahlah seberat timbangannya akan perak. Dan kamu berilah kepada bidan yang menyambutnya akan kaki binatang aqiqah”. (Riwayat Imam al-Baihaqi dan al-Hakim/al-Jami’ as-Saghir, hadis no. 4567. Menurut Imam as-Suyuti; hadis ini soheh).

Wallahu A’lam.

Rujukan;

1. Al-Majmu’, jil. 8.
2. Al-Muhazzab, jil. 2.
3. Al-Fiqh al-Manhaji, jil. 3.
4. Al-Iqna’, jil. 2.
5. Sabilal-Muhtadin, hlm. 912.
6. Al-Fiqhul-Wadhih, jil. 1
[1] Maksud “dipertaruhkan dengan aqiqahnya” ialah; pertumbuhan yang baik dan penjagaan yang sempurna bagi bayi itu dipertaruhkan dengan binatang yang disembelih untuknya. Ada pendapat menyatakan maknanya; bayi itu tidak akan memberi syafaat kepada dua ibu-bapanya jika ia tidak diaqiqahkan. (al-Fiqhul-Manhaji, jil. 4, hlm. 56)
[2] Adakah hari ketujuh itu dikira dari hari lahir atau hari berikutnya? Menurut pandangan yang rajih dalam mazhab Syafi’ie; hari lahir adalah terhitung sebagai hari pertama. Ini bermakna hari ketujuh dikira bermula dari hari lahir, bukan dari hari selepasnya. Namun jika bayi dilahirkan pada waktu malam, dihitung hari berikutnya sebagai hari pertama.
[3] Mughni al-Muhtaj, jil. 4, hlm. 370. Dalam Sabilal-Muhtadien dinyatakan; “Sunat mengaqiqahkan anak yang mati yang sempat hidup sekadar cukup waktu menyembelih aqiqah sekalipun meninggal sebelum hari ketujuh”. (Hlm. 913).
[4] Al-Majmu’, jil. 8, hlm. 322.
[5] Dalam kitab Sabilal-Muhtadin disebutkan; “…kaki kanan sampai ke batang paha binatang aqiqah…”. (Hlm. 915)

Khamis, 6 Disember 2007

PUASA PADA BULAN DZUL-HIJJAH?

Soalan; apakah kelebihan berpuasa dalam bulan Zulhijjah? Apa pula kelebihan puasa hari Arafah?

Jawapan;


Dari Hafsah r.a. menceritakan;

أربع لم يكن يدعهن رسول اللَّه صلى اللَّه عليه وآله وسلم صيام عاشوراء والعشر وثلاثة أيام من كل شهر والركعتين قبل الغداة
“Empat amalan yang tidak ditinggalkan oleh Rasulullah s.a.w. iaitu; puasa ‘Asyura, puasa al-‘ashyr (yakni hari-hari sepuluh awal Dzulhijjah), puasa tiga hari pada setiap bulan dan solat dua rakaat sebelum subuh”. (Riwayat Imam Abu Daud, Ahmad, at-Thabrani dan an-Nasai)

Maksud al-‘Ashyr dalam hadis di atas ialah hari pertama Dzulhijjah hingga hari ke sembilannya. Disunatkan puasa pada hari-hari tersebut terutamaya pada hari ke sembilan iaitu hari Arafah. Malah terdapat hadis lain yang menegaskan bahawa sepuluh hari awal Dzulhijjah adalah hari-hari paling baik untuk beramal dengan apa sahaja amal kebaikan, tidak tertumpu kepada puasa sahaja, iaitu sabda Rasulullah s.a.w.;

ما من أيام العمل الصالح فيها أحب إلى اللَّه من هذه الأيام:يعني أيام عشر ذي الحجة
“Tidak ada hari-hari di mana mengejakan amal soleh padanya paling disukai oleh Allah dari hari-hari ini; yakni hari-hari sepuluh awal Dzulhijjah”. (Riwayat Imam Bukhari dari Ibnu ‘Abbas r.a.)

Adapun fadhilat puasa hari ‘Arafah iaitu hari ke 9 Dzulhijjah, Abu Qatadah r.a. menceritakan;

سئل رَسُول اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيهِ وَسَلَّم عن صوم يوم عرفة؟ قال: يكفر السنة الماضية والباقية
“Rasulullah s.a.w. ditanya tentang puasa hari ’Arafah. Baginda bersabda; “(Puasa hari itu) dapat menghapus dosa tahun lalu dan yang akan datang”. (Riwayat Imam Muslim)

Hari ‘Arafah adalah hari yang paling afdhal dari segala hari.[1] Ini kerana Rasulullah bersabda;

مَا مِنْ يَوْمٍ أَكْثَرَ مِنْ أَنْ يُعْتِقَ اللهُ فِيهِ عَبْداً مِنَ النَّارِ، مِنْ يَوْمِ عَرَفَةَ
“Tidak ada satu hari yang paling banyak Allah membebaskan hambanya pada hari tersebut dari api neraka dari hari ‘Arafah”. (Riwayat Imam Muslim)

Namun demikian puasa pada hari ‘Arafah itu hanya disunatkan kepada yang bukan jamaah Haji. Adapun jemaah Haji, mereka tidak disunatkan berpuasa pada hari tersebut, akan tetapi disunatkan berbuka sebagai mengikuti Rasulullah s.a.w. dan untuk memperolehi kekuatan bagi memperbanyakkan berdoa pada hari tersebut. Abu Hurairah r.a. menceritakan;

أنَّ النبي صَلّى الله عَلَيْهِ وَسَلّم نهى عنْ صوم يومْ عَرَفَة بعَرَفةَ
“Sesungguhnya Nabi s.a.w. menegah dari berpuasa pada hari ‘Arafah bagi jamaah haji yang berada di ‘Arafah”. (Riwayat Imam Abu Daud, Ahmad, Ibnu Majah dan al-Hakim)

Maimunah isteri Rasulullah s.a.w. menceritakan; “Orang ramai ragu-ragu apakah Rasulullah s.a.w, berpuasa atau tidak pada hari ‘Arafah”. Lalu ia (yakni Maimunah) menghantar kepada baginda satu bekas berisi susu tatkala baginda sedang berwukuf di Padang ‘Arafah itu. Lalu baginda meminum susu tersebut dengan dilihat oleh orang ramai kepadanya. (Riwayat Imam Muslim).

Wallahu A’lam.

Rujukan;

1. Soheh Muslim Bisyarhi an-Nawawi, kitab al-I’tikaf, bab Shaumi ‘Asyri Zilhijjah.
2. Nailul-Authar, Imam as-Syaukani, 4/239.
3. Raudhatul-Muttaqien, jil. 3, hlm. 253.
4. Subulus-Salam, Kitabu as-Shiyam, bab Shaumu at-Tatawwu’ wa Ma Nuhiya ‘An Shaumihi.

[1] Di kalangan ulamak-ulamak mazhab Syafi’ie ada dua pandangan berhubung hari yang paling afdhal iaitu;
a) Pandangan pertama; hari jumaat. Berdalilkan hadis Nabi s.a.w.;
خير يوم طلعت فيه الشَّمس يوم الجمعة
“Hari terbaik muncul padanya matahari ialah hari jumaat”. (Riwayat Imam Muslim)
b) Pandangan kedua; hari ‘Arafah. Berdalilkan hadis di atas. Inilah pandangan yang ashah. Adapun hadis kelebihan hari Jumaat, maka ditakwilkan sebagai hari paling afdhal di kalangan hari-hari dalam seminggu, bukan hari-hari secara keseluruhannya dalam setahun.
(Rujuk; Soheh Muslim Bisyarhi an-Nawawi, juz. 9, Kitab al-Hajj).
Jika ditanya; bagaimana pula dengan lailatul-Qadar? Maka apakah hari ‘Arafah lebih mulia dari lailatul-Qadar? Jawapannya; hari ‘Arafah adalah adalah hari paling mulia di antara hari-hari dalam setahun. Adapun Lailatul-Qadar, maka ia adalah malam yang paling mulia di antara malam-malam dalam setahun. Kerana itulah dalam hadis di atas disebutkan (من أيام), bukan (من ليال). (Lihat: Raudhatul-Muttaqien, jil. 3, hlm. 253).

Rabu, 5 Disember 2007

CARA MELAKUKAN ISTIKHARAH

Soalan; bagaimana cara yang betul untuk saya melakukan solat Istikharah? Apakah bentuk pertunjuk atau tanda yang akan saya perolehi selepas melakukan Istikharah?

Jawapan;

Bismillahirrahmanirrahim,

1. Solat Istikharah bermaksud solat untuk memohon kepada Allah agar ditunjukkan keputusan yang terbaik dalam urusan kita yang menimbulkan keraguan dan kesangsian. Solat ini disunatkan –sekalipun bagi urusan-urusan kecil atau remeh- berdasarkan hadis Jabir bin ‘Abdullah r.a. yang menceritakan;

“Rasulullah s.a.w. mengajar kami beristikharah dalam segala urusan kami seperti beliau mengajar surah al-Quran. Baginda bersabda; ‘Apabila seseorang kamu hendak mengerjakan sesuatu, hendaklah ia bersolat dua rakaat yang bukan solat fardhu. Setelah selesai solat, hendaklah ia membaca doa;

اللَّهُمَّ إنِّي أسْتَخِيرُكَ بِعِلْمِكَ، وأسْتَقْدِرُكَ بِقُدْرَتِكَ، وَأسألُكَ مِنْ فَضْلِكَ العَظِيمِ، فإنَّكَ تَقْدِرُ ولا أَقْدِرُ، وَتَعْلَمُ وَلا أعْلَمُ، وأنْتَ عَلاَّمُ الغُيُوبِ، اللَّهُمَّ إنْ كُنْتَ تَعْلَمُ أنَّ هَذَا الأمْرَ خَيْرٌ لي فِي دِيني وَمَعاشِي وَعاقِبَةِ أمْرِي، وَعَاجلِ أمْرِي وآجِلِهِ، فاقْدُرْهُ لِي وَيَسِّرْهُ لي، ثُم بارِكْ لي فِيهِ، وَإنْ كُنْتَ تَعْلَمُ أنَّ هَذَا الأمْرَ شَرٌّ لي في دِينِي وَمعاشِي وَعاقِبَةِ أمْرِي، وَعاجِلِ أمْرِي وآجِلِهِ، فاصْرِفْهُ عَنِّي، وَاقْدُرْ لِيَ الخَيْرَ حَيْثُ كانَ ثُمَّ رَضِّنِي بِهِ

“Ya Allah! Aku memohon petunjuk dariMu tentang mana yang lebih baik untukku berdasarkan ilmuMu, dan aku memohon kekuatan dariMu untukku dengan kudratMu serta aku memohon kepadaMu kurniaanMu yang besar. Sesungguhnya Engkau maha berkuasa sedangkan aku tidak berkuasa dan Engkau maha tahu sedang aku tidak mengetahui. Engkaulah Tuhan yang maha mengetahui segala yang ghaib. Ya Allah! Jika Engkau mengetahui urusan ini baik untukku bagi agamaku, kehidupanku, bagi natijah urusanku serta bagi urusanku masa kini dan masa depan, maka takdirkanlah ia untukku dan mudahkanlah ia bagiku, kemudian berkatilah aku dalam melakukannya. Dan jika Engkau mengetahui bahawa urusan ini buruk untukku bagi agamaku, kehidupanku, bagi natijah urusanku serta bagi urusanku masa kini dan masa depan, maka palingkanlah ia dariku dan takdirkanlah untukku apa yang baik bagiku dalam apa rupa sekalipun, kemudian jadikanlah hatiku redha menerimanya”.
Hendaklah ia menyebutkan hajatnya (semasa berdoa itu).
(Riwayat Imam al-Bukhari).

2. Sunat Istikharah hanyalah bagi urusan-urusan yang harus sahaja seperti perkahwinan, perniagaan, untuk keluar bermusafir dan sebagainya. Adapun urusan-urusan yang diwajibkan atau disunatkan Syarak, tidak perlu lagi istikharah kerana ia disuruh oleh Syarak. Setiap yang disuruh oleh syarak adalah jelas baik tanpa syak lagi. Begitu juga dengan urusan-urusan yang diharamkan oleh Syarak atau dimakruhkan, tidak perlu lagi diistikharahkan kerana ia dilarang oleh Syarak dan setiap yang dilarang oleh Syarak adalah buruk tanpa syak lagi.

3. Solat istikharah boleh dilakukan pada bila-bila masa yang dikehendaki asalkan bukan di dalam waktu-waktu yang dilarang solat sunat.

4. Menurut Imam Nawawi dalam kitabnya al-Azkar; disunatkan membaca dalam rakaat pertama –selepas al-Fatihah- surah al-Kafirun dan dalam rakaat kedua surah al-Ikhlas. Jika seseorang tidak dapat mengerjakan solat, bolehlah ia beristikharah dengan membaca doa sahaja. Semasa berdoa, sunat dimulakan dengan memuji Allah dan mengucapkan selawat serta salam kepada Nabi Muhammad dan begitu juga apabila selesai berdoa.

5. Adapun tanda-tanda atau petunjuk Allah selepas istikharah ialah apa yang dirasai oleh hati. Selepas menunaikan solat dan berdoa kepada Allah sebagaimana tadi, hendaklah orang yang beristikharah itu melakukan apa yang hatinya berasa tenang dan yakin untuk melakukannya. Jika perlu diulangi, ulangilah istikharah itu. Ada ulamak menggalakkan Istikharah diulangi hingga tujuh kali berdasarkan hadis riwayat Imam Ibnu Sunni dari Anas r.a.; Rasulullah s.a.w. bersabda; “Jika kamu ingin melakukan suatu urusan, beristikharahlah kepada Tuhanmu tujuh kali. Kemudian lihatlah apa yang mula sampai kepada hati kamu. Sesungguhnya kebaikan ada padanya”. Namun hadis ini menurut ulamak hadis adalah lemah.

6. Satu perkara yang perlu diingat; ketika melakukan istikharah, hati hendaklah pasrah kepada Allah. Jangan melakukan istikharah dalam keadaan hati cenderung pada mana-mana keputusan kerana itu tanda kita tidak ikhlas dalam beristikharah kepada Allah. Berkata Imam Nawawi; “Sesudah istikharah hendaklah seseorang itu memilih apa yang hatinya berasa tenang/lapang untuk melakukannya. Janganlah ia berpegang dengan ketenangan hatinya yang terbit dari kehendak hawa nafsunya sebelum istikharah. Bahkan orang yang melakukan istikharah hendaklah ia meninggalkan pilihan sendiri, kerana kalau demikian bukanlah beristikharah kepada Allah namanya, tetapi beristikharah kepada nafsu sendiri. Kadang-kadang orang yang beristikharah itu tidak jujur/tidak ikhlas dalam istikharahnya dan dia tidak pasrah kepada ilmu dan qudrat Allah. Jika ia benar-benar jujur/ikhlas dalam istikharahnya, sudah tentu ia akan membebaskan hatinya dari upaya dan kekuatannya serta dari pilihannya sendiri (sebaliknya menyerahkan segala-galanya kepada Allah)”. (Rujuk; Nailul-Autar, jil. 3, hlm. 74).

Wallahu a’lam.

Rujukan;

1. al-Azkar, Imam Nawawi, Kitab al-Azkar Wa ad-Da’awat…, Bab al-Istikharah.
2. at-Tajul Jami’, Syeikh Mnasur ‘Ali Nasif, jil. 1, hlm. 333.
3. Nailul-Autar, Imam as-Syaukani, jil. 3, hlm. 74.

Isnin, 3 Disember 2007

IKTIKAF YANG BETUL

Soalan: Boleh ustaz jelaskan yg manakah cara iktikaf yg betul seperti dibawah ini:
i) tidur & niat iktikaf dimasjid/surau dan bangun malam hari untuk solat dan ibadat lain.
ii) atau tidur di rumah dan bangun pukul 3.00- 4.00 pagi dan pergi ke masjid/surau utk solat dan ibadat lain.

Jawapan ;

Iktikaf adalah ibadah yang disunatkan dengan sepakat ulamak. Lebih disunatkan lagi pada bulan Ramadhan terutamanya di sepuluh hari terakhir (hukumnya sunat muakkad). Iktikaf harus pada bila-bila masa sama ada siang atau malam, tidak semesti pada malam hari. Yang dikatakan iktikaf itu ialah; tinggal atau duduk di dalam masjid dengan niat untuk mendekatkan diri kepada Allah. Sepanjang iktikaf disunatkan beribadah kepada Allah sama ada melakukan solat, membaca al-Quran, berzikir dan menuntut ilmu.

Merujuk kepada soalan saudara, kedua-duanya adalah harus. Namun jika dilihat kepada pahala iktikaf, lebih lama masa yang kita peruntukkan untuk iktikaf maka lebih banyak pahala yang kita akan dapat. Oleh itu, dari sudut kelebihan ibadah; cara pertama lah yang lebih baik, yakni kita beriktikaf bermula dari awal malam (iaitu tidur di masjid dengan niat iktikaf) kemudian bangun beribadah apabila tiba tengah malam. Dan jika saudara hendak tidur dahulu di rumah, kemudian bila tiba tengah malam (jam 3 atau 4 pagi) baru saudara ke masjid untuk beriktikaf dan mengerjakan solat malam (Qiyamullail) itu juga harus dan pahala iktikaf bermula dari saat saudara memasuki masjid dan berniat iktikaf.

Antara hadis yang boleh menjadi rujukan mengenai iktikaf;

1. Dari Saidatina ‘Aisyah r.a. menceritakan; “Adalah Nabi s.a.w. jika ingin beriktikaf, beliau akan menunaikan solat subuh, kemudian masuk ke tempat iktikafnya”. (Riwayat Imam at-Tirmizi). Dalam riwayat Imam Muslim, juga dari Saidatina ‘Aisyah r.a.; “Nabi s.a.w. beriktikaf di bulan Ramadhan di mana setelah menunaikan solat subuh, beliau akan duduk ditempat iktikafnya”. Hadis ini menunjukkan iktikaf Nabi s.a.w. di siang hari.

2. Ibnu ‘Umar r.a. menceritakan; Umar telah bertanya Nabi s.a.w.; “Aku telah bernazar pada masa jahiliyah untuk beriktikaf pada satu malam di Masjid Haram”. Nabi berkata kepadanya; “Penuhilah nazar kamu itu”. (Riwayat Imam Bukhari dan Muslim). Hadis ini menunjukkan keharusan beriktikaf di malam hari kerana Rasulullah memerintahkan Umar agar menunaikan nazarnya untuk beriktikaf di malam hari.

Wallahu a’lam.

Rujukan;

1. Dalail al-Ahkam, Baha-uddin Ibnu Syaddad, jil. 1, hlm. 639-644.
2. At-Tahzib, Imam al-Baghawi, jil. 3, hlm. 223.
3. Syarah Soheh Muslim, Imam an-Nawawi, juz. 8, Kitab al-I’tikaf dan Kitab al-Aiman Wa an- Nuzur (Bab Nazr al-Kafir)

Sabtu, 1 Disember 2007

SOLAT BERSEORANGAN DI BELAKANG SAF

Soalan; Apabila saya sampai di masjid, orang ramai sedang menunaikan solat. Saya dapati saf sedia ada telahpun penuh. Apa yang sepatutnya saya lakukan? Apa hukumnya jika saya berdiri seorang diri di belakang saf yang penuh itu?

Jawapan;

Jika saudara dapat mencelah masuk ke dalam saf yang sedia ada itulah yang sebaik-baiknya. Jika tidak dapat mencelah kerana saf telah padat, disunatkan saudara menarik salah seorang yang berada di saf hadapan untuk berada di dalam saf bersama saudara.[1] Namun hendaklah saudara mengucapkan takbiratul-ihram terlebih dahulu (yakni memasuki solat terlebih dahulu), kemudian barulah menariknya. Orang yang ditarik sunat menbantu orang yang menariknya (yakni dengan melangkah ke belakang) untuk memperolehi pahala saling bantu-membatu untuk mengerjakan kebaikan dan ketakwaan.

Adapun hukum mengerjakan solat berjamaah dengan berdiri seorang diri di belakang saf, menurut mazhab Syafi’ie ia adalah makruh iaitu boleh menghilangkan pahala jamaah, tetapi tidaklah sampai membatalkan solat. Ini berdalilkan hadis yang terdapat di dalam Soheh Imam al-Bukhari yang menceritakan bahawa seorang sahabat bernama Abu Bakarah sampai di masjid ketika Nabi s.a.w. sedang ruku’ (semasa mengerjakan solat berjamaah), lalu ia turut ruku’ sebelum sampai di saf. Apabila diceritakan kepada Nabi, baginda berkata kepada Abu Bakarah itu; “Jangan kamu ulangi (perlakuan tersebut)”. Nabi s.a.w. tidak menyuruhnya mengulangi solat, menunjukkan bahawa solatnya sah.

Namun terdapat juga ulamak –antaranya Imam Ahmad dan an-Nakha’ie- yang berpandangan; mengerjakan solat bersendirian di belakang saf akan menyebabkan batal solat. Mereka berdalilkan hadis dari Wabisah (وَابِصَة) bin Mi’bad al-Juhaniy r.a. yang menceritaka; “Rasulullah s.a.w. telah melihat seorang lelaki mengerjakan solat dengan berada di belakang saf seorang diri, lalu baginda menyuruhnya agar mengulangi solatnya”. (Riwayat Imam Ahmad, Abu Daud, at-Tirmizi dan Ibnu Hibban. Menurut Imam at-Tirmizi; hadis ini adalah hasan). Arahan Nabi supaya mengulangi solat, menunjukkan bahawa solatnya batal.

Namun menurut ulamak-ulamak mazhab Syafi’ie; arahan mengulangi solat di dalam hadis kedua hendaklah difahami sebagai arahan sunat sahaja (yakni digalakkan mengulangi solat) untuk menselarikannya dengan hadis pertama tadi di mana Nabi tidak menyuruh agar diulangi solat walaupun kesnya adalah sama.

Wallahu A’lam.

Rujukan;

1. Mughni al-Muhtaj, Imam al-Khatib asy-Syirbini, Kitab Solatil-Jamaah, jil. 1, hlm. 339.
2. Subulus-Salam, Kitab as-Solah, bab Solatil-Jamaah wa al-Imamah.


[1] Berdalilkan hadis Rasulullah s.a..w;
إذا انتهى أحدكم إلى الصف وقد تم فليجذب إليه رجلاً يقيمه إلى جنبه
“Apabila seseorang dari kamu sampai ke saf, lalu didapatinya saf telah penuh, hendaklah ia menarik kepadanya seorang lelaki (yang berada di saf hadapan) untuk berdiri di sampingnya”. (Riwayat Imam at-Thabrani dari Ibnu ‘Abbas r.a.. Di dalam sanad hadis ini terdapat seorang yang bernama as-Sirri bin Ibrahim di mana ia sangat dhaif (dhaif jiddan). Lihat; Subulus-Salam).

Isnin, 26 November 2007

HUKUM MENYAMBUT HARI LAHIR

Soalan : Saya ingin mendapat pandangan ustaz berkenaan dengan amalan menyambut hari jadi ahli keluarga dan ulang tahun perkahwinan. Apa hukumnya?

Jawapan;

Mengadakan sambutan hari lahir dan hari perkahwinan adalah harus dengan syarat tidak berlaku di dalamnya perkara-perkara yang ditegah Syarak (yakni Allah dan Rasul). Islam mengharuskan untuk kita melahirkan perasaan gembira terhadap anugerah Allah kepada kita dengan sebarang cara asalkan tidak menyalahi Syari’at yang wajib kita ikuti. Sekalipun sambutan sedemikian tidak pernah dilakukan oleh Nabi s.a.w., namun itu tidak menjadi alasan untuk mengharamkannya kerana kita hanya ditegah melakukan perkara baru (yakni Bid’ah) dalam hal-hal agama. Adapun dalam hal-hal keduniaan, terserah kepada kita asalkan jangan sampai melanggari ketetapan Syari’at yang sedia ada. Islam adalah agama yang sentiasa memberi kelapangan kepada manusia.

Selain hari lahir dan hari perkahwinan, diharuskan juga kita menyambut hari-hari bersama dalam Negara dan masyarakat. Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradhawi menegaskan dalam fatwanya; “…Adapun perayaan-perayaan Negara seperti sambutan kemerdekaan atau penyatuan atau perayaan-perayaan kemasyarakatan seperti sambutan hari ibu, hari kanak-kanak, hari buruh, hari pemuda dan sebagainya, harus bagi seorang muslim untuk mengucapkan tahniah (kepada orang lain) bersempena hari tersebut dan harus ia menyertainya atas dasar ia salah seorang penduduk atau pemastautin di Negara tersebut dengan syarat ia hendaklah menjauhi perkara-perkara yang diharamkan oleh Syari’at yang berlaku semasa sambutan-sambutan tersebut”.

Wallahu A’lam.

Rujukan;

1. Baina as-Sail Wa al-Faqih, Syeikh Dr. Muhammad Bakar Ismail (salah seorang ulamak al-Azhar), hlm. 325.
2. Fatawa Mu’ashirah, Dr. Yusuf al-Qaradhawi, jil. 3, hlm. 673.

Ahad, 25 November 2007

WANITA BARU KEMATIAN SUAMI; HARUSKAH MENGERJAKAN HAJI?

iSoalan: Adakah wanita yang berada dalam eddah kematian suami diharuskan keluar bermusafir untuk mengerjakan haji?

Jawapan;

Apabila seorang wanita kematian suami, Syarak telah mewajibkan ke atasnya tiga perkara;
1. Bereddah; iaitu tidak berkahwin dengan lelaki lain sehingga tempoh waktu yang ditetapkan Syarak iaitu 4 bulan 10 hari jika ia tidak hamil dan jika ia hamil, eddahnya ialah hingga melahirkan anak.
2. Hidad; iaitu tidak berhias dengan sebarang bentuk perhiasan yang dapat dilihat oleh orang lain selama tempoh eddah di atas.
3. Luzum al-Bait; iaitu sentiasa berada di dalam rumahnya –iaitu rumah yang didiaminya bersama suaminya-, yakni ia tidak keluar darinya sepanjang eddah tersebut termasuk untuk bersembahyang di masjid atau bermusafir bagi menunaikan haji, umrah dan sebagainya. Telah diriwayatkan bahawa Saidina ‘Umar r.a. telah menegah wanita yang kematian suaminya dari mengerjakan haji semasa ia berada di dalam eddahnya. Menurut ulamak; haji tidak luput masanya kerana tempohnya tidak tetap (iaitu seumur hidup), adapun eddah akan luput masanya kerana tempohnya adalah tetap. Dikecualikan dari larangan keluar rumah itu jika ada keperluan yang tidak dapat dielakkan seperti untuk mendapatkan rawatan, untuk membeli barang-barang keperluan jika tidak ada orang yang dapat membantu membelinya, keluar berkerja bagi wanita yang berkerja dan sebagainya. Namun hendaklah ia keluar tanpa berhias, mengelak dari banyak bercakap dengan orang lelaki dan tidak bermalam di luar rumahnya.

Wallahu a’lam.

Rujukan;

1. Fatawa Mu’ashirah, Dr. Yusuf al-Qaradhawi, jil. 1, hlm. 501-506.
2. Yasalunaka Fiddini Wal-Hayah, Dr. Ahmad as-Syibasi, jil. 1, hlm. 279-281.
3. 60 Jawapan bagi soalan anda, Us. Ahmad Adnan Fadzil, hlm. 111.

Isnin, 19 November 2007

KENCING BERDIRI

SOALAN :

Kebanyakan masyarakat Islam di negara ini ramai yg kencing berdiri dan saya pernah mendengar Nabi Muhammad S.A.W. tidak mengaku umat.. boleh ustaz perjelaskan apakah hukumnya.

JAWAPAN :


عَنْ حُذَيْفَةَ قَالَ:
كُنْتُ مَعَ النَّبِيِّ -صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ- فَانْتَهَى إِلَى سُبَاطَةِ قَوْمٍ، فَبَالَ قَائِماً، فَتَنَحَّيْتُ.
فَقَالَ: "ادْنُهْ" فَدَنَوْت حَتَّى قُمْتُ عِنْدَ عَقِبَيْهِ، فَتَوَضَّأَ، فَمَسَحَ عَلَى خُفَّيْهِ.

Huzaifah r.a. menceritakan; Aku bersama Nabi s.a.w.. Apabila sampai di satu tempat pembuangan sampah, Nabi s.a.w. kencing di situ sambil berdiri. Aku pun berpaling menjauhi baginda. Namun baginda berkata kepadaku; ‘Hampirilah’. Aku pun menghampiri Nabi hingga aku berdiri hampir dengan dua tumitnya. Setelah selesai kencing, Nabi mengambil wudhuk dengan menyapu dua khufnya”. (Riwayat Imam Bukhari dan Muslim)

Hadis ini menunjukkan keharusan kencing sambil berdiri, bukan menunjukkan kebiasaan Nabi s.a.w.. Kebiasaan Nabi s.a.w. ialah kencing sambil duduk sebagaimana riwayat dari Saidatina ‘Aisyah r.a. yang berkata;

حديث عائشة -رضي الله عنها- قالت: من حدثكم أن النبيّ -صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ- كان يبول قائماً فلا تصدقوا ما كان يبول إلا قاعداً، رواه أحمد بن حنبل والترمذي والنسائي وآخرون، وإسناده جيد، والله أعلم.

“Jika ada sesiapa menceritakan kepada kamu bahawa Nabi s.a.w. kencing berdiri, maka jangan kamu mempercayainya. Nabi tidak kencing melainkan sambil duduk”. (Riwayat Imam Ahmad, at-Tirmizi, an-Nasai dan lain-lain. Menurut Imam Nawawi; sanad hadis ini adalah baik).

Berdasarkan hadis ini, sebahagian ulamak menegaskan; hukum kencing berdiri adalah makruh kecuali jika ada sebarang keuzuran. Menurut mereka; perbuatan Nabi kencing berdiri dalam hadis pertama di atas adalah kerana ada keuzuran bagi baginda; kemungkinan susah bagi baginda untuk duduk pada ketika itu memandangkan tempat itu ialah tempat pembuangan sampah atau mungkin juga baginda mengalami sakit tulang belakang. Menurut Imam Syafi’ie; orang Arab jika mereka mengalami sakit belakang, mereka akan kencing berdiri.

Di kalangan para sahabat sendiri terdapat khilaf tentang kencing berdiri. Terdapat riwayat menceritakan bahawa Saidina Umar, Ali, Zaid bin Tsabit, Ibnu Umar, Abu Hurairah dan Anas r.a. pernah kencing sambil berdiri. Antara sahabat yang memakruhkannya pula ialah Ibnu Mas’ud dan diikuti oleh Imam as-Sya’bi dan Ibrahim bin Sa’ad.

Kesimpulannya; kencing berdiri hukumnya adalah harus atau makruh mengikut perbezaan ulamak di atas. Namun yang terbaik ialah kencing sambil duduk. Ini ditegaskan oleh Imam Ibnu al-Munzir; “Kencing sambil duduk lebih aku sukai. Namun kencing berdiri hukumnya adalah harus. Kedua-duanya ada dalil dari Nabi s.a.w.”.

Wallahu a’lam.

Rujukan;


Syarah Soheh Muslim, Imam an-Nawawi, jil. 3, Kitab at-Toharah, Bab al-Mashi ‘Ala al-Khuffain.

Isnin, 29 Oktober 2007

KRISTIAN

Soalan;

1. Kenapa terlalu sedikit maklumat tentang Nabi Isa dan Nabi Musa yang diketahui oleh umat Islam dibanding dengan orang Kristian. Kurangnya pengetahuan tentang dua watak utama ini adakalanya boleh dijadikan kelemahan umat Islam yang akan diputar-belitkan oleh pihak lain yang ingin menyesatkan umat Islam sendiri. Oleh itu, saya berharap saudara dapat mencadangkan kiranya ada kitab yang ditulis oleh ulamak kita sendiri yang boleh saya jadikan sumber rujukan untuk menambah pengetahuan saya tentang Nabi Isa a.s. dan Nabi Musa a.s. sebagai antara 25 rasul utama.

2. Bagaimana rupa bentuk kitab Injil dan kitab Taurat yang asal dan apakah isi kandungannya mengikut perspektif Islam?

Dari;
Nur, Kota Kinabalu, Sabah.

Jawapan;

Bismillahirrahmanirrahim.

1. Untuk dijadikan sebagai Aqidah memadai dengan apa yang ada di dalam al-Quran dan as-Sunnah yang soheh. Inilah yang menjadi pegangan para ulamak Islam dari dulu hingga sekarang. Al-Quran dan as-Sunnah yang as-Soheh tidak membentangkan sebarang maklumat tentang suatu peristiwa, kisah atau tokoh melainkan semuanya adalah benar dan dapat diyakini. Adapun cerita-cerita dari Ahli Kitab (yakni pendita-pendita Yahudi atau Nasrani) atau Israeliyat, banyak darinya yang ditokok-tambah dan boleh diragui kesahehannya. Jika mereka berani mengubah kitab Allah, tidak mustahil mereka juga berani mengubah fakta dan maklumat tentang para Nabi. Contoh paling nyata; Nabi Isa yang asalnya hamba Allah, oleh orang pendita-pendita Kristian dinaik-taraf menjadi anak Allah sehingga diterima hari ini oleh sekelian penganut Kristian yang jumlahnya ribuan juta orang. Kerana bimbang penyelewengan dan cerita-cerita palsu seperti itu akan masuk ke dalam pemikiran umat Islam maka ulamak-ulamak Islam tidak menjadikan buku-buku atau cerita-cerita dari pendita Yahudi dan Kristien sebagai sumber atau rujukan untuk mengenai Nabi-Nabi terdahulu –termasuklah tentang Nabi Musa dan Isa- walaupun tidak dapat dinafikan bahawa banyak maklumat tentang Nabi-Nabi terdahulu ada pada mereka sebagaimana yang saudara sebutkan. Harus untuk kita membuat kajian lebih lanjut tentang Nabi-Nabi terdahulu, tetapi sumbernya hendaklah dipastikan terlebih dahulu kesahehan atau kebenaranya sebagaimana kaedah yang ditetapkan oleh ulamak dalam membuat kajian; “Pendakwaan hendaklah dengan bukti, pemindahan cerita pula hendaklah dengan kepastian”. Oleh demikian, langkah yang lebih selamat ialah berpada dengan apa yang diceritakan oleh al-Quran dan as-Sunnah yang soheh dan kita menumpukan kajian kita kepada apa yang menjadi focus al-Quran iaitu mendedahkan penyelewengan Ahli Kitab (golongan Yahudi dan Nasara) dalam Aqidah dan penafian terhadap Kerasulan Nabi Muhammad s.a.w.. Di antara buku/kitab yang boleh menjadi rujukan saudara dalam mendapatkan maklumat yang benar –berdasarkan al-Quran dan as-Sunnah- berkenaan kisah Nabi Isa dan Musa ialah;

a) Buku-buku berkenaan kisah-kisah para Nabi yang ditulis oleh ulamak Islam, antaranya; 1. Qisas al-Anbiyak, Syeikh Hasan Ayyub, 2. Qisas al-Anbiyak, Imam Ibnu Kathir.

b) Agama Mesehi dan Agama Yahudi (Dua buku yang berasingan tulisan Dr. Ahmad Syalaby, terbitan Pustaka Nasional Singapura). Dalam buku ini penulis ada membentangkan tentang Nabi Isa (al-Masih) mengikut pandangan orang Islam, orang Yahudi, orang Barat dan orang Kristian sendiri.

c) al-Mukhtasar Fi Akhbar al-Basyar, Abu al-Fida’. (Sebuah kitab yang menceritakan tentang susur-galur keturunan dan kisah para Nabi).

2. Jika kita perhatikan penekanan al-Quran semasa membentangkan tentang Ahli Kitab (golongan Yahudi dan Nasara), ia berlegar di sekitar persoalan-persoalan berikut;

a) Mendedahkan penyelewengan Aqidah mereka
b) Mendedahkan perbuatan mereka meminda kitab-kitab Allah (Taurat dan Injil)
c) Mendedahkan perbuatan mereka yang banyak melakukan Bid’ah (rekaan-rekaan) terhadap agama Allah
d) Penafian mereka terhadap kerasulan Nabi Muhammad s.a.w..

Dengan mengambil pendekatan al-Quran, para ulamak Islam dari dulu hingga kini menjadikan persoalan-persoalan tersebut sebagai tajuk-tajuk perbincangan dan perdebatan dalam berdepan dengan orang-orang Kristian termasuklah paderi-paderi mereka. Ulamak-ulamak Islam tidak berdebat atau berbincang tentang kewujudan Nabi Isa atau kerasulannya kerana hakikat tersebut telah diakui oleh semua penganut agama Sawami termasuklah Islam. Persoalan utama yang diperlu dibincang atau diperdebatkan; Adakah ajaran agama Kristian hari ini benar-benar ajaran Nabi Isa? Adakah kitab Injil yang ada hari ini benar-benar asli tanpa tokok tambah? Dan benarkah tidak ada Bisyarah (perkhabaran) dari Nabi Isa tentang kedatangan Nabi Muhammad?

Sepatutnya umat Islam didedahkan dengan terperinci tentang perkara-perkara tersebut kerana ia menjadi focus di dalam al-Quran. Namun kita mendapati inilah antara titik-titik kepincangan dalam pengajian aqidah yang berjalan hari ini. Kita mempelajari aqidah Islam tanpa membandingkannya dengan aqidah-aqidah lain –khususnya Yahudi dan Kristian- sebagaimana pendekatan yang dibawa oleh al-Quran. Kita memahami aqidah Islam tetapi kita tidak mampu berdepan dengan penganut-penganut agama lain kerana kita tidak mengetahui aqidah dan agama mereka.

3. Di antara buku-buku yang pernah saya baca dan saya rasakan amat baik menjadi rujukan umat Islam dalam perbandingan agama –khusus yang berkait dengan Yahudi dan Kristian- ialah;

a) Tulisan-tulisan Ahmad Deedat, antaranya “The Choice, volume 1 & 2” (Telah diterjemahkan oleh Jasmin Enterprise (2004) di bawah tajuk “Debat Islam dan Kristian; jilid 1 dab 2, tebal; 418 muka surat). Bagi yang menguasai bahasa Inggeris bolehlah mengikuti CD ceramah dan perdebatan beliau yang banyak dijual di pasaran.

b) Siri-Siri Penbandingan Agama oleh Dr. Ahmad Shalaby (terbitan Pustaka Nasional, Singapura) merangkumi;
1. AGAMA MASEHI
2. AGAMA YAHUDI
3. AGAMA-AGAMA BESAR DI INDIA
4. AGAMA ISLAM

c) Rehlah al-Insan Ma’a al-Adyan (Pengembaraan Manusia Bersama Agama-Agama), Dr. Abdur-Rahman Nuruddin.

4. Mengenai kandungan kitab Taurat dan Injil, Allah Taala sendiri melalui al-Quran telah mendedahkan bahawa kedua-dua kitab tersebut telah mengalami pindaan, pengurangan dan penambahan oleh tangan-tangan pendita Yahudi dan Nasara. Boleh rujuk; al-Baqarah: 75, Ali Imran: 78, an-Nisa’: 46, al-Maidah: 14,

Muhammad Farid Wajdi (seorang ilmuan Mesir) pernah menyebutkan; ‘Di antara bukti berlakunya pemindaan yang dapat dirasai (pada kitab Taurat) ialah Taurat yang berlegar hari ini di kalangan orang Nasrani berbeza dengan Taurat yang berlegar di kalangan orang Yahudi’. Kitab Injil pula, bukti yang terang bagi penyelewengan yang berlaku padanya ialah apabila di kalangan penganut Nasrani sendiri hari ini terdapat empat jenis Injil yang berbeza antara satu sama lain. (Lihat al-‘Aqaid al-Islamiyyah, Syeikh Sayyid Sabiq, hlm. 145 & 146)

Dr. Bakar Zaki ‘Iwadh (Pensyarah perbandingan agama Universiti Kaherah, Mesir) dalam kitabnya Muhadharat fi al-Milal wa an-Nihal; “Injil-Injil yang ada pada penganut Kristian hari ini adalah yang terpilih dari ratusan injil yang direkodkan dalam tempoh-masa yang tidak kurang dari 325 tahun (ada pendapat menyebutkan 430 tahun). Injil yang paling awal direkodkan ialah 30 tahun selepas peristiwa Nabi Isa disalib oleh seorang yang tidak diketahui asal-usulnya….Telah banyak kajian-kajian kritikan telah ditulis terhadap Injil-Injil tersebut di mana ke semuanya berlegar pada persoalan berikut;
1. Ketidakpastian para penulisnya.
2. Ketidakpastian zaman ia ditulis.
3. Ketidakpastian bahasa asalnya.
4. Ketidakpastian penterjemahnya.
5. Ketidakpastian zaman berlaku penterjemahannya.
6. Pertentangan yang berlaku antara nas-nas di dalam Injil yang sama dan di antara satu Injil dengan Injil-Injil yang lain (dari segi jumlah nas dan isi kandungannya.
7. Nabi Isa a.s. hanya diwahyukan satu Injil sahaja, akan tetapi Injil yang ada di tangan penganut Kristian hari ini ada empat (iaitu Matius, Markus, Lukas dan Yuhana/Yahya).
(Lihat; halaman 58-59).

Mengenai kitab Taurat pula, beliau mengebutkan; di kalangan kelompok Kristian sendiri ada yang golongan yang tidak mempercayai kehujahan Perjanjian lama (Taurat) yang ada sekarang, malah di kalangan penganut Kristian (yang menerimanya) sesama mereka berlaku perbezaan dalam jumlah dan isi kandungan teks Taurat itu”. (Lihat; nota kaki kitab tersebut, no. 36, hlm. 57). Beliau juga menyebutkan dalam halaman 28; “Kitab Perjanjian Lama (Taurat) yang ada hari ini telah ditujukan kepadanya pelbagai kritikan dari bijak-pandai Yahudi sendiri dan juga dari orang-orang Islam yang melakukan kajian-kajian perbandingan. Bagi seorang muslim memadailah (sebagai hujjah baginya) dengan al-Quran telah menunjukkan bahawa telah berlaku tahrif (yakni penyelewengan/pemalsuan) di dalam kitab tersebut dan bahawa tangan-tangan Yahudi telah melakukan penambahan dan pengurangan padanya di mana perkara yang mendorong mereka melakukan demikian ialah habuan kebendaan di samping kejahilan masyarakat awam Yahudi terhadap perlakuan golongan pendeta dan ahli agama mereka”.

Dr. Maurice Bucaile dalam bukunya “Bible, Quran & Sains Moden” menjelaskan bahawa tidak ada Injil yang ditulis pada waktu Nabi Isa masih hidup. Semuanya ditulis lama sesudah beliau meninggal. Bagi al-Quran, keadaannya berlainan. Teks al-Quran dihafal oleh Nabi dan para sahabatnya langsung setelah wahyu diterima dan ditulis oleh beberapa sahabat baginda yang ditentukan. Jadi, dari permulaan, al-Quran mempunyai dua unsur ketulenan (authenticity) tersebut yang tidak dimiliki Injil. Hal ini berterusan sampai wafatnya Nabi Muhammad. Penghafalan al-Quran pada zaman manusia sedikit sekali yang dapat menulis, memberikan kelebihan jaminan yang sangat besar pada waktu pembukuan al-Quran secara definitif (muktamad) dan disertai beberapa regu untuk mengawasi pembukuan tersebut” (lihat halaman 143). Menurut beliau lagi, sejak dari mula diturunkan al-Quran telah dipelihara secara sangat ketat. Al-Quran tidak mengandungi problem tentang autentik atau tidak autentik (halaman 292).

Dilihat dari perspektif sains moden pula, beliau mengulaskan; “Quran yang diwahyukan sesudah kedua kitab suci sebelumnya, bukan sahaja bebas dari kontradiksi dalam riwayat-riwayatnya, kontradiksi yang menjadi ciri Injil-Injil kerana disusun oleh manusia tetapi juga menyajikan kepada orang yang mempelajarinya secara objektif dengan mengambil petunjuk dari sains moden, suatu sifat yang khusus, yakni persesuaian yang sempurna dengan hasil sains moden. Lebih dari itu semua, sebagai yang sudah kita buktikan, al-Quran mengandungi pernyataan ilmiah yang sangat moden yang tidak masuk akal jika dikatakan bahawa orang yang hidup pada waktu al-Quran diwahyukan adalah pencetus-pencetusnya. Dengan begitu, maka pengetahuan ilmiah moden memungkinkan kita memahami ayat-ayat tertentu dalam al-Quran yang sampai sekarang tidak dapat ditafsirkan. Perbandingan beberapa riwayat Bible dengan riwayat al-Quran tentang hal yang sama menunjukkan adanya perbezaan fundamental antara pernyataan Bible yang tak dapat diterima secara ilmiah dengan pernyataan al-Quran yang sesuai sepenuhnya dengan sains moden, umpamanya tentang penciptaan dan tentang banjir Nabi Nuh seperti yang sudah kita lihat. Mengenai Exodus Musa kita dapatkan di dalam al-Quran suatu tambahan yang berharga kepada riwayat Perjanjian Lama. Tambahan itu seluruhnya sesuai dengan hasil-hasil penyelidikan Arkeologi yang menunjukkan bila bila kejadian-kejadian dalam sejarah Musa itu terjadi. Perbezaan sangat penting antara al-Quran dan Bible dalam soal-soal lain adalah pertentangan dengan anggapan bahawa Muhammad menciplak suatu copy Bible untuk menulis al-Quran, semua itu tanpa bukti…”. (halaman 292-293)

Oleh kerana al-Quran sahaja kitab yang bersih dari sebarang pindaan, penyelewengan dan tokok-tambah dari manusia, maka dialah satu-satunya kitab yang menjadi rujukan bagi manusia hari ini untuk sampai kepada kebenaran. Hanya dengan berpegang dan berpandukan al-Quran manusia akan menemui ajaran-ajaran yang benar dari Allah. Ini ditegaskan Allah dalam firmanNya:

قَدْ جَاءَكُمْ مِنْ اللَّهِ نُورٌ وَكِتَابٌ مُبِينٌ، يَهْدِي بِهِ اللَّهُ مَنْ اتَّبَعَ رِضْوَانَهُ سُبُلَ السَّلَامِ وَيُخْرِجُهُمْ مِنْ الظُّلُمَاتِ إِلَى النُّورِ بِإِذْنِهِ وَيَهْدِيهِمْ إِلَى صِرَاطٍ مُسْتَقِيمٍ
“Sesungguhnya telah datang kepada kamu cahaya kebenaran (Nabi Muhammad) dari Allah, dan sebuah Kitab (Al-Quran) yang jelas nyata keterangannya. Dengan (Al-Quran) itu Allah menunjukkan jalan-jalan keselamatan serta kesejahteraan kepada sesiapa yang mengikut keredaanNya, dan (dengannya) Tuhan keluarkan mereka dari gelap-gelita (kufur) kepada cahaya (iman) yang terang-benderang, dengan izinNya; dan (dengannya juga) Tuhan menunjukkan mereka ke jalan yang lurus”. (al-Maidah: 15-16)

Wallahu A’lam.

Rabu, 24 Oktober 2007

BENARKAH TIDAK DITERIMA RAMADHAN TANPA PUASA 6HARI BULAN SYAWAL

Soalan : Adakah benar jika seseorang itu tidak berpuasa enam selepas berpuasa ramadhan maka itu menunjukkan bahawa puasa ramadhannya tidak diterima ALLAH ?

Jawapan ;

Bismillahirrahmanirrahim

Puasa 6 hari di bulan Syawal adalah sunat berdasarkan hadis sohih dari Nabi Muhammad SAW.

“ Satu amalan sunat jika dilakukan adalah diberikan pahala dan jika ditinggalkan tidaklah berdosa.”

Oleh demikian, tidak benarlah apa yang saudara sebutkan itu memandangkan puasa 6 hari bulan Syawal hanya sunat sahaja dan tidak menjejaskan puasa Ramadhan yang dilakukan sekiranya puasa 6 hari itu tidak dikerjakan.

Apa yang boleh menjejaskan puasa Ramadhan ialah perkara-perkara yang kita lakukan semasa di bulan Ramadhan, di antaranya melakukan perkara-perkara yang membatalkan puasa atau tidak menajaga puasa dari sudut akhlak dan penghayatan.

Wallahualam.

Selasa, 23 Oktober 2007

BERJUAL-BELI, TIDUR, MAKAN DAN BERAKAD NIKAH DI DALAM MASJID

Soalan; Adakah menjual barang di dalam masjid haram keseluruhannya? Bagaimana dengan menjual buku agama? Adakah harus tidur dan makan di dalam masjid? Bagaimana pula berakad nikah?

Jawapan;

Terdapat hadis menegaskan;

أَنَّ رَسُوْلَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّم نَهَى عَنِ الشِّرَاءِ وَالْبَيْعِ فِي الْمَسْجِدِ وَأَنْ تُنْشَدَ فِيْهِ ضَالَّةٌ، وَأَنْ يُنْشَدَ فِيْهِ شِعْرٌ
“Sesungguhnya Rasulullah s.a.w. telah menegah dari berjual-beli di dalam masjid, mencari barang hilang di dalamnya dan mendendangkan syair di dalamnya”. (Riwayat Imam Abu Daud dan at-Tirmizi dari ‘Amru bin Syu’aib dari bapanya yang meriwayat dari datuknya. Menurut Imam at-Tirmizi, hadis ini hasan).

Hadis di atas menunjukkan bahawa berjual-beli di dalam masjid adalah dilarang. Dalam masalah ini, ulamak-ulamak mazhab Hanbali paling tegas di mana menurut pandangan mereka; “Diharamkan sama sekali berjual-beli di dalam masjid dan jika berlaku maka jual-beli itu adalah batal”. Menurut pandangan ulamak-ulamak mazhab Syafi’ie; “Haram berjual-beli di masjid jika membawa kepada merosakkan kemuliaan masjid atau mengganggu orang yang mengerjakan solat. Jika tidak sampai kepada merosakkan kehormatan masjid atau mengganggu orang yang sembahyang, hukumnya adalah makruh kecuali jika ada keperluan, maka hukumnya harus”. Ulamak-ulamak mazhab Hanafi mengharuskan berjual-beli di masjid jika sedikit. Adapun jika jual-beli itu banyak sehingga merubah masjid menjadi ibarat pasar, amatlah dimakruhkan.

Dalam mengupas persoalan ini, Syeikh Dr. Muhammad Bakar Ismail (salah seorang ulamak al-Azhar) menegaskan pandangannya; “Yang paling benarnya ialah; diharamkan sama sekali berjual-beli di dalam masjid jika banyak dan dimakruhkan jika sedikit, kecuali jika ada keperluan seperti menjual buku-buku agama, alat-alat tulis dan seumpamanya dan disediakan tempat khas untuknya”. (Baina as-Sail Wa al-Faqih, Dr. Muhammad Bakr Ismail)

Tidur di dalam masjid adalah harus dengan syarat tidak mendatangkan gangguan kepada orang yang beribadah di masjid. Menurut ulamak-ulamak mazhab Syafi’ie; “Tidak dimakruhkan tidur di dalam masjid kecuali jika dikhuatiri mendatangkan gangguan kepada masjid seperti orang yang tidur itu dari jenis orang yang berdengkur dengan kuat”. Ulamak-ulamak mazhab Hanafi mensyaratkan dengan niat iktikaf. Orang yang tidur di dalam masjid tanpa berniat iktikaf hukumnya adalah makruh.

Diharuskan makan di dalam masjid dengan syarat tidak mengotorkan masjid seperti membuang sisa-sisa makanan dan tulang di masjid atau sebagainya. Begitu juga, disyaratkan makanan yang dimakan itu bukan dari jenis yang mempunyai bau yang mengganggu orang ramai atau tidak disukai mereka.

Adapun melakukan akad nikah di dalam masjid hukumnya adalah harus, malah menurut ulamak-ulamak mazhab Hanafi, Malik dan Hanbali; disunatkkan menjalankan akad nikah di dalam masjid. Sebaik-baiknya orang yang hendak berakad nikah di dalam masjid itu berniat iktikaf terlebih dahulu.

Wallahu A’lam.

Rujukan;

1. Baina as-Sail Wa al-Faqih, Dr. Muhammad Bakr Ismail, hlm. 44.
2. al-Fiqh ‘Ala Mazahib al-Arba’ah, jil. 1, hlm. 258-260.

Khamis, 11 Oktober 2007

MENGHIMPUNKAN NIAT PUASA ENAM DENGAN PUASA QADHA

Soalan; Adakah harus menghimpunkan niat puasa enam hari di bulan Syawal dengan puasa Qadha’ iaitu satu puasa untuk dua niat/tujuan?

Jawapan;

Syeikh Dr. ‘Ali Jum’ah (Mufti Mesir sekarang) dalam buku himpunan fatwanya menjelaskan; “Jika seseorang itu mampu menunaikan puasa qadha yang tertanggung atasnya terlebih dahulu (kerana berbuka pada bulan Ramadhan), kemudian baru dia berpuasa enam, itulah yang paling baik (afdhal) kerana Rasulullah SAW bersabda;

دَيْنُ اللهُ أَحَقُّ أَنْ يُقْضَىَ
“Hutang dengan Allah lebih utama untuk ditunaikan” (HR Bukhari dan Muslim dari Ibnu ‘Abbas RA).

Boleh juga menghitung puasa enam itu bersama dengan puasa qadha yang dilakukan dalam syawal itu mengikut pandangan ulamak-ulamak mazhab Syafiie[1]. Namun yang paling baik ialah mengasingkan kedua-duanya (yakni dilakukan berasingan) untuk mengelak pertikaian dari mazhab-mazhab lain, di samping dapat memperbanyakkan amal soleh.

Dan dibolehkan juga baginya untuk mendahulukan puasa enam dalam bulan syawal dan menangguhkan puasa qadha ke bulan-bulan yang lain sebelum tibanya Ramadhan yang baru”.

[1] Lihat dalam al-Majmu’, 3/235.

Jawapan berkaitan; NIAT SEKALI; PUASA QADHA DAN PUASA ENAM

Wallhu A’lam.

Rujukan;

1. Al-Kalimu at-Thayyib; Fatawa ‘Ashriyyah, Syeikh Dr. ‘Ali Jum’ah, hlm. 99.
2. Rujuk juga; Fatawa Min Ahsan al-Kalam, Syeikh Atiyah Saqar, 2/22-23.

Sabtu, 6 Oktober 2007

FIDYAH PUASA

Soalan; Siapakah yang wajib mengeluarkan fidyah puasa? Bagaimana cara mengeluarkannya?

Jawapan;

Fidyah puasa bermaksud mengeluarkan kadar tertentu dari makanan asasi setempat bagi setiap hari yang ditinggalkan dari puasa bulan Ramadhan dan diberikan kepada orang miskin. Kewajipan fidyah puasa ini berdasarkan firman Allah;

“…Dan wajib ke atas orang-orang yang payah/sukar mengerjakan puasa (kerana tua, sakit yang tiada kemungkinan sembuh dan sebagainya) membayar fidyah, iaitu memberi makan seorang miskin (bagi tiap-tiap hari yang ditinggalkan puasanya)…”. (al-Baqarah: 184)

Orang-orang yang dituntut membayar fidyah puasa ialah;

1. Orang yang meninggalkan puasa kerana sakit yang tiada harapan sembuh
2. Orang tua yang tiada lagi kemampuan/daya untuk berpuasa.
3. Wanita hamil yang berbuka puasa kerana bimbangkan kandungannya.
4. Wanita menyusu yang berbuka puasa kerana bimbangkan anak yang disusuinya itu.
5. Seorang yang mati sebelum sempat mengqadha’ puasanya
6. Seorang yang sengaja menangguh-nangguh qadha’ puasanya sehingga tiba Ramadhan berikutnya dan ia belum menunaikan puasa Qadha’nya. Ia wajib membayar fidyah di samping mengqadha puasanya itu.

Kadar satu fidyah ialah secupak beras (menyamai ukuran hari ini; 650 gram beras).[1] Menurut mazhab Imam Abu Hanifah; harus dikeluarkan dengan wang senilai dengan harga beras itu. Malah beliau mengharuskan menunaikan fidyah itu dengan memberi makan orang miskin, yakni membuat makanan dan kemudian menjemput orang miskin menikmatinya. Memakai pandangan Imam Abu Hanifah ini, Syeikh 'Atiyah Saqar rhm (bekas pengerusi Lujnah Fatwa al-Azhar) menyebutkan; satu fidyah ialah dengan memberi makan seorang fakir/miskin dengan makanan yang mencukupinya untuk makanan pagi (ghada’) dan malam (asya’).

Satu fidyah hanya harus diberikan kepada seorang fakir miskin sahaja. Namun jika fidyah itu banyak, maka harus jika hendak diberikan kepada seorang atau beberapa orang fakir dengan syarat bilangan mereka tidak boleh melebihi bilangan fidyah (supaya tidak berlaku satu fidyah diagihkan kepada lebih dari seorang fakir).

Jika orang yang wajib membayar fidyah tersebut tidak mampu membayarnya kerana miskin, maka terhapuslah kewajipan membayar fidyah seperti terhapusnya kewajipan membayar zakat fitrah. Pendapat ini yang disokong oleh Syeikh Ibnu Hajar di dalam kitabnya “Tuhfah”. Namun menurut Syeikh Ramli dan juga Khatib Syarbini; tidak terhapus kewajipan membayar fidyah kerana miskin dan fidyah yang belum terbayar itu menjadi hutang. Jika ia mati sebelum membayar fidyahnya, hendaklah dikeluarkan dari harta peninggalannya. (Rujuk; Sabilal-Muhtadien, hlm. 768, lihat juga; al-Majmu’, jil. 6, hlm. 257)

Wallahu A’lam.

Rujukan;

1. al-Fiqh al-Manhaji, jil. 2, hlm. 92.
2. Sabilal-Muhtadien, hlm. 768.
3. Al-Majmu’, jil. 6, hlm. 257.
4. Al-Iqna’, jil. 2, hlm. 353
5. Fiqh al-‘Ibadat, Hasan Ayyub, hlm. 449.2.
6. Al-Fatawa Min Ahsanil-Kalam, Syeikh 'Atiyah Saqar, jil. 2, hlm. 16.

Nota Kaki;

[1] Menurut mazhab Syafi'ie; Syarat makanan bagi Fidyah dan Kaffarah menyamai syarat makanan bagi Zakat Fitrah dari segi jenis dan sifatnya. Begitu juga, disyaratkan dalam kewajipan Fidyah dan Kaffarah (sebagai mana zakat fitrah) ada kelebihan dari keperluan diri sendiri dan ahli keluarga termasuklah khadam (merangkumi keperluan makanan, pakaian dan tempat tinggal). (Rujuk; al-Iqna’, jil. 2, hlm. 353)

Selasa, 2 Oktober 2007

BERNIAGA MAKANAN DI SIANG HARI BULAN RAMADHAN

Soalan; Apa hukum membuka kedai makan pada waktu siang di bulan Ramadhan?

Jawapan;

Puasa di bulan Ramadhan adalah kewajipan dalam Islam yang dinyatakan oleh al-Quran dan as-Sunnah. Kewajipan ini telah disepakati (ijmak) oleh sekelian ulamak kaum muslimin sejak mula ia disyari’atkan hinggalah ke hari kiamat. Rasulullah s.a.w. telah memberi satu ancaman yang keras terhadap orang yang sengaja berbuka puasa pada siang hari di bulan Ramadhan dengan sabda baginda;

من أَفطرَ يوماً من رَمضَانَ من غَيرِ رُخصةٍ ولا مرضٍ لَمْ يَقضِ عنه صومُ الدَّهرِ كلِّهِ وإِنْ صامَهُ
“Sesiapa berbuka puasa sehari di bulan Ramadhan tanpa ada rukhsah (kelonggaran) yang diizinkan Allah untuknya, puasa sepanjang masa sekalipun tidak akan berupaya membayarnya sekalipun ia melakukannya”. (Riwayat Imam Abu Daud, at-Tirmizi dan Ibnu Majah).

Seorang muslim yang menjual makanan kepada orang yang sengaja tidak berpuasa (tanpa ada sebarang keuzuran atau tegahan) pada siang hari di bulan Ramadhan maka ia turut berdosa kerana ia bersyubahat membantu orang lain melakukan dosa. Jika membantu orang lain melakukan ketaatan diberi pahala, maka membantu orang lain berbuat dosa akan diberi balasan dosa oleh Allah.

Oleh demikian, hendaklah serang muslim yang mengusahakan kedai makan menutup kedainya di siang hari di bulan Ramadhan jika ia mengetahui bahawa yang datang membeli dikedainya ialah orang-orang yang sengaja tidak berpuasa di bulan Ramadhan. Adapun jika ia membuka kedainya khusus untuk menjual makanan bagi persediaan berbuka puasa untuk orang yang berpuasa atau menjual makanan khusus untuk kanak-kanak yang belum sampai umur wajib berpuasa, maka hal tersebut adalah harus. Begitu juga, harus ia membuka kedainya khusus untuk menjual makanan kepada orang-orang bukan Islam dengan syarat tidak berterang-terangan di hadapan kaum muslimin yang berpuasa. Sabda Rasulullah s.a.w.;

كُلُّ أُمّتِي معافىً إلا المُجَاهِرِينَ
“Setiap ummatku akan dimaafkan kecuali orang-orang yang berterang-terangan melakukan dosa”. (Riwayat Imam al-Bukhari dan Muslim dari Abu Hurairah r.a.)

Wallahu A’lam.

Rujukan;

1. Yasalunaka Fi ad-Din Wa al-Hayah (Jil. 4), Syeikh Dr. Ahmad as-Syirbasi, Dar al-Jil, Beirut – Lubnan.

BERBUKA PUASA

Soalan: Mana yang terbaik; berbuka puasa sebaik sahaja azan berkumandang atau setelah azan tamat?

Jawapan;

Sedia diketahui bahawa di antara sunat-sunat puasa ialah menyegerakan berbuka iaitu terus berbuka apabila diyakini bahawa matahari telah terbenam dan sunat berbuka terlebih dahulu sebelum menunaikan solat maghrib.

Tidak wajib orang yang berpuasa menunggu hingga habis azan baru berbuka kerana tempoh berpuasa ialah dari terbitnya fajar hinggalah terbenamnya matahari. Maka apabila telah pasti terbenam matahari, haruslah baginya berbuka. Tidak disyaratkan mendengar azan baru boleh berbuka kerana memastikan matahari terbenam boleh dengan melihat jam atau memerhati kedudukan matahari di kaki langit atau dengan pemberitahuan orang yang dipercayai,yakni tidak semestinya dengan mendengar azan sahaja.

Nabi s.a.w. berbuka puasa sebelum baginda menunaikan solat maghrib kerana baginda sendiri pernah berkata;

إِذَا أَقْبَلَ اللَّيْلُ، وَأَدْبَرَ النَّهارُ، وَغَابَتِ الشَّمْسُ، فَقَدْ أَفْطَرَ الصَّائِمُ
“Apabila tiba malam dan siang berlalu serta matahari telah terbenam, maka tibalah masa berbuka bagi orang berpuasa”. (Riwayat Imam Bukhari dan Muslim dari Umar r.a.)

Barangkali sesetengah orang memandang baik menunggu hingga habis azan (baru berbuka selepasnya) kerana disunatkan orang yang mendengar azan menjawab sebagaimana yang dikumandangkan oleh muazzin. Namun para ulamak menjawab; sunat menjawab seruan azan itu khusus bagi orang-orang yang diseru kepada solat. Adapun orang yang berpuasa mereka diseru supaya berbuka puasa dan menyegerakannya sebelum menunaikan solat maghrib. Dalilnya ialah galakan dari Syara’ sendiri supaya orang yang berpuasa segera berbuka dan begitu juga, Nabi s.a.w. sendiri berbuka terlebih dahulu sebelum mengerjakan solat maghrib. Para ulamak menegaskan; “Tidak dituntut menjawab kalimah-kalimah azan ke atas orang-orang yang sibuk dengan suatu urusan dari urusan-urusan Syarak”. Malah ada yang menegaskan; “Tidak dituntut ke atas orang yang sedang makan”.

Dari penjelasan tersebut fahamlah kita bahawa tidak wajib orang yang berpuasa menunggu hingga habis azan untuk berbuka puasa. Harus ia berbuka sebaik sahaja azan berkumandang menandakan masuknya waktu maghrib atau menandakan terbenamnya matahari. Namun sebaik-baiknya, ia berbuka dengan sekadar beberapa biji buah tamar atau seumpamanya, kemudian terus ia menunaikan solat maghrib dan setelah itu barulah ia menyempurnakan makan (dengan menikmati makanan berat).

Wallahu A’lam.

Rujukan;

1. Yasalunaka Fi ad-Din Wa al-Hayah (Jil. 4), Syeikh Dr. Ahmad as-Syirbasi, Dar al-Jil, Beirut – Lubnan.

Selasa, 18 September 2007

IKAN KELI YANG DIBERI MAKAN NAJIS

Soalan; Ada berita yang sampai kepada kita bahawa ada di antara penternak ikan keli yang memberi makan najis kepada ternakan mereka seperti daging babi, bangkai ayam dan sebagainya. Apa hukum perbuatan tersebut? Dan bagaimana pula kita yang memakan daging ternakan tersebut?

Jawapan;

Perbuatan tersebut adalah bercanggah dengan Syariat Islam kerana Rasulullah s.a.w. menegah orang Islam memakan daging binatang yang memakan najis atau diberikan makan najis. Ibnu ‘Umar r.a. menceritakan;

نَهَى رَسُوْلُ اللهِ عَنِ الْجَلَّاْلَةِ وَ أَلْبَاْنِهَاْ
“Rasulullah telah menegah dari memakan al-jallalah ( yakni binatang yang suka makan benda kotor dan najis) dan menegah dari meminum susunya”.
(Riwayat imam-imam hadis kecuali Imam an-Nasai. Hadis ini dikatakan hasan oleh Imam at-At-Tirmizi)

Maksud al-Jallalah dalam hadis di atas menurut ulamak ialah; “Haiwan yang suka memakan benda kotor dan najis sama ada haiwan tersebut lembu, unta, kambing atau burung/ayam”. (Subulussalam, Imam as-Son’ani, jil. 4, hlm. 102).

Bagi sebahagian ulamak, larangan dalam hadis di atas adalah larangan makruh sahaja iaitu digalakkan agar tidak memakannya. Namun ada ulamak yang berpandangan larangan tersebut memberi makna pengharaman; yakni diharamkan memakan haiwan yang suka memakan najis atau diternak dengan diberi makan najis. Antara yang mengharamkaannya ialah Imam Ahmad bin Hanbal. Menurut Imam Ahmad; haram memakan daging dan susunya hinggalah ditahan dan diberi makan (makanan suci) selama 40 hari.

Daging haiwan al-Jallalah tersebut tidak akan menjadi bersih atau suci dengan membasuhnya sahaja atau dengan memasaknya atau dengan dicampur rempah-ratus supaya hilang bau najis atau bau busuknya. Akan tetapi ia hendaklah ditahan selama beberapa hari (dengan diberi makanan yang suci) sebelum disembelih. Hanya dengan menahannya barulah hukum makruh atau hukum haram tadi akan terangkat.

Berapa lamakah penahanan tersebut perlu dilakukan? Dalam mazhab Syafi’ie, tidak ada tempoh khusus bagi penahanan tersebut. Yang perlu ialah ia ditahan sehingga diyakini hilang najis atau bau najis dari dagingnya. Menurut pendapat Ibnu Umar r.a.; “Hendaklah ditahan dan diberi makan makanan yang suci; jika unta selama 40 hari, jika kambing selama 7 hari dan jika ayam selama 3 hari”.

Selain haiwan, adakalanya tumbuh-tumbuhan juga disirami atau dibajai dengan najis. Jadi apa hukumnya memakan buah atau tumbuhan yang disuburkan dengan najis itu? Hukumnya menurut mazhab Syafi’ie adalah halal memakannya. Namun dalam pada itu makruh hukumnya jika nyata bau najis padanya. Menurut Imam Ahmad; diharamkan buah-buahan, tumbuh-tumbuhan dan sayur-sayuran yang disiram dengan air najis.

Wallahu A’lam.

Rujukan;

1. Subulussalam, Imam as-Son’ani, jil. 4, hlm. 102.
2. Al-Majmu’, karangan Imam an-Nawawi, jil. 9, hlm. 23
3. Nailul-Authar, Imam as-Syaukani, juz. 8, hlm. 123.

BELAJAR DAN MENGAMBIL IJAZAH MELALUI YOUTUBE?

Soalan: amalan-amalan yang diijazah oleh ulamak atau guru melalui youtube adakah sah untuk diamalkan. Apa itu dikira sebagai ijazah dari gu...