Khamis, 27 Mac 2008

CARA MEMBAYAR HUTANG LAMA

Soalan;

Sekiranya kita pernah berhutang dengan seseorang tetapi tidak dapat membayarnya kerana beliau telah berpindah dan tidak dapat dikesan tempat tinggalnya yang baru. Solannya, bolehkah nilai hutang itu disedekahkan dengan diniatkan kepada si pemberi hutang? Adakah telah selesai hutang itu dengan cara ini?

Jawapan;


Pertama, hendaklah saudara berusaha mencarinya dengan segala saluran yang ada. Jika masih tidak menemuinya setelah dicari, sekiranya saudara mengetahui ia ada menanggung hutang dari orang lain, maka gunakanlah wang yang ada pada saudara itu untuk melunasi hutangnya. Jika ia tidak menanggung hutang dari orang lain, saudara hendaklah mencari waris-warisnya dan mengembalikan wang itu kepada waris-warisnya. Jika tidak ditemui atau tidak diketahui waris-warisnya, barulah saudara memberi sedekah dengan wang itu bagi pihaknya. Di akhirat nanti, jika pemilik wang yang saudara berhutang darinya itu ia memilih untuk mengambil pahala sedekah dari wangnya (yang saudara sedekahkan itu), maka pahala itu adalah miliknya. Jika ia masih menuntut saudara melunasi hutangnya iaitu ia meminta dari pahala kebajikan/kebaikan saudara, akan diberikan kepadanya mengikut kadar hutangnya. Namun saudara tidak akan rugi kerana pahala sedekah yang saudara lakukan dari wangnya tadi akan menjadi milik saudara. Seorang sahabat Nabi s.a.w. iaitu Ibnu Mas’ud r.a. telah membeli seorang hamba dari seorang lelaki. Tatkala ia hendak membayarnya, tiba-tiba lelaki itu menghilangkan diri. Dicarinya dimerata tempat, namun tidak berjumpa. Lalu ia pun mensedekahkan wang bayaran itu dan berdoa kepada Allah; “Ya Allah! Sedekah ini adalah bagi pihaknya jika ia redha. Jika ia tidak redha, maka pahalanya adalah untukku”.

Wallahu a’lam.

Rujukan;

1. Zadul-Ma’ad, Imam Ibnul-Qayyim al-Jauziyah, jil. 5, hlm. 779.
2. Al-Fatawa; Min Ahsanil-Ahkam Fi al-Fatawa Wa al-Ahkam, Syeikh ‘Attiyyah Saqar, jil. 2, hlm. 65.

Rabu, 26 Mac 2008

NAFKAH SELEPAS EDDAH

Soalan;

Adakah masih menjadi tanggungjawab lelaki untuk memberi nafkah kepada bekas isterinya selepas bercerai setelah tempoh edah sudah tamat?

Jawapan;

Apabila seorang wanita diceraikan oleh suaminya, selama masih di dalam eddah –terutamanya eddah talak raj’ie (iaitu talak yang boleh dirujuk)-, wajib suaminya memberi nafkah kepadanya. Adapun setelah tamat eddah, tidak wajib lagi ke atas bekas suaminya menanggung nafkahnya kecuali jika ia mengandung, maka kewajipan nafkah itu berterusan hingga ia melahirkan anak. Ini merujuk kepada firman Allah (yang bermaksud); “…dan jika mereka (yakni isteri-isteri yang diceraikan) sedang mengandung, maka berikanlah kepada mereka nafkah sehingga mereka melahirkan kandungan mereka. Kemudian jika mereka menyusukan anak untuk kamu, maka berikanlah kepada mereka upah. Berundinglah sesama kamu dengan cara yang baik. Jika antara kamu berlaku kesulitan, maka bolehlah (dicari) perempuan lain untuk menyusukan anak itu…”. (at-Talaq, ayat 6).

Wallahu a’lam.

Rujukan;

1. al-Fiqh al-Wadhih, Syeikh Dr. Muhammad Bakr Ismail, jil. 1, hlm. 128.

Sabtu, 22 Mac 2008

WASIAT KEPADA WARIS

Soalan:

Assalamualaikum Ustaz,

Saya ada persoalan tentang arwah yang mempunyai sebidang tanah yang dikongsi oleh rakan kongsinya sama rata iaitu masing-masing misalnya 10 ekar. Arwah sebelum meninggal telah berpesan supaya bahagiannya 10 ekar itu dibahagi sama rata antara isteri pertama dan isteri kedua iaitu isteri pertama mendapat 5 ekar dan isteri kedua mendapat 5 ekar.

Sebelum arwah isteri pertama meninggal, dia berpesan supaya tanah bahagiannya diberi kepada anaknya A.

Persoalannya sekarang, anak-anak isteri kedua tidak mahu mengikut perkiraan begini dan mahu keseluruhan harta diberi antara semua anak-anak isteri pertama, isteri kedua dan anak-anak isteri kedua. Dan ini juga menjadi masalah kerana arwah berpesan dan tidak menulis wasiat.
Bagaimana hendak menyelesaikan masalah ini?

Jawapan:

Di dalam satu hadis, Nabi s.a.w. telah menegaskan; “Tidak ada wasiat untuk ahli waris (yakni orang yang dapat mewarisi dari si mati)”. (Riwayat Imam at-Tirmizi dari Abu Umamah al-Bahili r.a.. Menurut Imam at-Tirmizi; hadis ini hasan). Oleh kerana isteri (sama ada seorang atau lebih) termasuk dalam senarai ahli waris (iaitu ia akan mewarisi 1/8 dari harta si mati), maka tidak harus ia menerima wasiat dari arwah (si mati). Maka harta arwah (si mati) hendaklah dibahagikan mengikut kadar yang ditetapkan oleh Syarak dalam ilmu Faraid. Adapun wasiatnya kepada dua isterinya itu hendaklah diabaikan kecuali jika mendapat persetujuan dari ahli-ahli waris yang lain, barulah dilaksanakan.

Kecualilah jika arwah (si mati) semasa hayatnya telah menghibahkan tanah tersebut kepada dua isterinya itu, maka tanah tersebut menjadi milik dua isterinya melalui akad hibah dan tidak ada ada hak lagi untuk ahli-ahli waris yang lain menuntutnya selepas kematian arwah kerana arwah telah menghibah (menghadiahnya) kepada orang yang dikehendakinya.

Wallahu a’lam

Khamis, 20 Mac 2008

TAHNIK

Soalan; Apa yang dimaksudkan dengan taknik? Bagaimana caranya mengikut as-Sunnah?

Jawapan;

Mentahnik bayi yang baru dilahirkan sama ada lelaki atau perempuan dengan buah tamar adalah sunat. Tahnik (التحنيك)[1] bermaksud; seseorang mengunyah/memamah buah tamar, lalu memasukkannya ke dalam mulut seorang bayi dengan menggosok-gosokkannya ke langit-langit bayi itu agar dikecap dan ditelan olehnya. Jika tidak terdapat buah tamar, bolehlah diganti dengan makanan lain yang manis. Abu Musa al-Asy’ari r.a. menceritakan;


وُلِدَ لِي غُلاَمٌ، فَأَتَيْتُ بِهِ النَّبِيَّ -صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ- فَسَمَّاهُ: إِبْرَاهِيمَ، وَحَنَّكَهُ بِتَمْرَةٍ وَدَعَا لَهُ بِالْبَرَكَةِ

“Dilahirkan untukku seorang bayi, lalu aku membawanya kepada Nabi s.a.w., lalu baginda menamakannya Ibrahim dan baginda mentahnikkannya dengan sebiji tamar serta mendoakan untuknya keberkatan”. (Riwayat Imam Bukhari dan Muslim)

Hendaklah yang mentahnik itu orang-orang yang terkenal baik dan soleh. Oleh yang demikian, sunat dibawa anak yang baru dilahirkan kepada orang-orang soleh dan bertakwa untuk ditahnik oleh mereka dan supaya mereka mendoakan keberkatan serta kebaikan untuknya. Jika tidak terdapat lelaki, bolehlah dibawa kepada perempuan yang soleh dan bertakwa. (Al-Fiqhul-Manhaji, jil. 3, hlm. 62).

Wallahu A’lam.

Rujukan;

1. Al-Fiqhul-Manhaji, jil. 3, hlm. 62

2. Al-Majmu’, jil. 8, hlm. 335.


[1] Diambil dari perkataan (الحنك) yang bermaksud langit-langit.

Ahad, 2 Mac 2008

PILIH KASIH ANTARA ANAK-ANAK DALAM PEMBERIAN HADIAH

Soalan; Seorang bapa sebelum ia meninggal telah memberi hibah (hadiah) sebahagian hartanya kepada anak yang dikasihinya sedangkan ia mempunyai anak-anak yang lain. Apa pandangan Syarak tentang fenomena yang selalu berlaku ini?

Jawapan;

Sikap pilih kasih di antara anak-anak dalam pemberian (yakni sama ada memberi kepada anak tertentu sahaja atau melebihkan sebahagian ke atas sebahagian yang lain) adalah dilarang oleh Syarak. Rasulullah s.a.w. bersabda di dalam sebuah hadis;

اِعْدِلُوْا بَيْنَ أَبْنَائِكُمْ اِعْدِلُوْا بَيْنَ أَبْنَائِكُمْ اِعْدِلُوْا بَيْنَ أَبْنَائِكُمْ
“Berlaku adillah di antara sesama anak-anak kamu, berlaku adillah di antara sesama anak-anak kamu, berlaku adillah di antara sesama anak-anak kamu”. (Riwayat Ahmad, Abu Daud dan an-Nasai dari an-Nu’man bin Basyir r.a.. Menurut asy-Syaukani; para perawi hadis ini adalah tsiqah kecuali al-Mufadhdhal bin al-Mihlab di mana ia adalah shaduq. Lihat; Nailul-Autar)

An-Nu’man bin Basyir r.a. menceritakan; bapanya telah membawanya bertemu Rasulullah s.a.w. dan berkata kepada baginda; “Sesungguhnya aku telah menghadiahkan anakku ini seorang hamba milikku”. Lalu Rasulullah bertanya kepadanya; “Apakah kepada semua anak kamu kamu beri hadiah serupa?”. Jawabnya; “Tidak”. Lalu Rasulullah bersabda kepadanya; “Ambillah kembali hadiah itu”.
(Riwayat Imam al-Bukhari dan Muslim).

Ada ulamak mentafsirkan larangan di dalam hadis di atas sebagai haram, antaranya Imam Tawus, as-Sauri, Ahmad, Ishaq dan sebahagian ulamak mazhab Maliki. Bagi mereka menyama-ratakan antara anak-anak dalam hibah atau pemberian adalah wajib. Tidak harus mengkhusus sebahagian mereka dari sebahagian yang lain atau melebihkan sebahagian atas sebahagian yang lain. Ada juga ulamak yang mentafsirkannya sebagai larangan makruh sahaja antaranya Imam Syafi’ie, Imam Abu Hanifah dan Imam Malik. Kesimpulannya, bersikap pilih kasih dalam pemberian kepada anak-anak sekurang-kurang hukumnya adalah makruh iaitu dibenci oleh agama. Hal ini telah menjadi ijmak para ulamak.

Jika perbuatan tersebut telah dilakukan, apakah wajib ditarik balik hibah/pemberian yang telah diberikan kepada sebahagian anak itu? Menurut Imam Ahmad; wajib ditarik balik hibah atau pemberian itu (yakni di sisi Imam Ahmad; hibah tersebut adalah batal). Namun Imam Abu Hanifah, Syafi’ie dan Malik berpandangan; tidak wajib ditarik balik. (Rahmatul-Ummah Fi Ihktilaf al-Aimmah).

Wallahu A’lam.
Rujukan;

1. Nailul-Authar, Juz. 6, Kitab al-Hibah Wa al-Hadiyyah.
2. Rahmatul-Ummah Fi Ihktilaf al-Aimmah, Muhammad Ibn Abdirrahman ad-Dimasyqi asy-Syafi’ie, hlm. 194.

BELAJAR DAN MENGAMBIL IJAZAH MELALUI YOUTUBE?

Soalan: amalan-amalan yang diijazah oleh ulamak atau guru melalui youtube adakah sah untuk diamalkan. Apa itu dikira sebagai ijazah dari gu...