Jumaat, 28 Oktober 2016

ADAKAH SYURGA KEMBALI KE BAWAH TAPAK KAKI IBU SETELAH KEMATIAN SUAMI?

Soalan; ustaz, sepertimana yang saya tahu, syurga seorang isteri di bawah telapak kaki suaminya. Tapi ustaz, macam mana pula jikalau suaminya telah meninggal? Adakah syurganya kembali kepada ibu kandungnya?

Jawapan;

Hingga bila-bilapun syurga tetap di bawah tapak kaki ibu-bapa dan keredhaan Tuhan berada pada keredhaan Ibu-bapa.
Sabda Nabi SAW;

الْزَمْهُمَا فَإِنَّ الْجَنَّةَ تَحْتَ أَرْجُلِهِمَا
“Jagalah kedua ibu-bapamu kerana Syurga di bawah kaki kedua mereka” (Al-Mu'jam al-Kabir, at-Thabrani; 2202. Menurut al-Munziri; sanad hadis ini baik. Lihat; at-Targhib wa at-Tarhib, al-Munziri; 3751). Sabda baginda juga;
رِضا الرَّبِّ فِي رِضا الوَالِدِ وَسُخْطُ الرَّبِّ فِي سُخْطِ الوَالِدِ
“Keredhaan Tuhan berada pada keredhaan Ibu-bapa dan kemurkaan Tuhan berada pada kemurkaan ibu-bapa” (HR at-Tirmizi dan al-Hakim dari ‘Abdullah bin ‘Amru RA. Menurut as-Suyuti; hadis ini adalah soheh. Lihat; al-Jami’ as-Saghier, hadis no. 4456).

Sama ada bergelar isteri atau tidak, seorang anak tetap wajib berbuat baik dan berbakti kepada ibu dan bapanya sebagaimana yang diperintahkan oleh Allah dalam al-Quran. Mentaati suami adalah perintah Allah, berbakti kepada ibu dan bapa juga perintah Allah, maka kedua-duanya wajib dilaksanakan semampunya.

Untuk memahami lebih lanjut, sila baca jawapan saya sebelum ini; (ADAKAH SYURGA BERPINDAH KE BAWAH TAPAK KAKI SUAMI SETELAH BERKAHWIN?).

Wallahu a'lam.


Selasa, 25 Oktober 2016

LAFAZ SALAM DALAM SOLAT

Soalan; sedikit sambungan soalan ustaz, mengenai rukun qauli semasa salam pertama, adakah wajib qauli setakat assalamualaikum atapun sampai habis assalamualaikum warahmatullah.

Jawapan;

Sekurang-kurang memberi salam ialah; Assalamu alaikum. Paling sempurna; Assalamu alaikum warahmatullah. Hadis dari Ibnu Mas'ud RA menceritakan; Nabi SAW memberi salam ke kanan dan ke kiri, dengan melafazkan;

السَّلَامُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللَّهِ
(Sunan at-Tirmizi; 295. Sunan Abu Daud; 996. Hadis hasan soheh).

Menurut mazhab Syafiie, tidak disunatkan menambah; wabarakaatuh. Sebahagian ulamak (mazhab Hanbali) membolehkan tambahan; wabarakaatuh, berdalilkan hadis dari Wail bin Hujrin RA yang menceritakan;

صَلَّيْتُ مَعَ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، فَكَانَ يُسَلِّمُ عَنْ يَمِينِهِ: «السَّلَامُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللَّهِ وَبَرَكَاتُهُ»، وَعَنْ شِمَالِهِ: «السَّلَامُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللَّهِ»
"Aku solat bersama Nabi SAW, maka baginda memberi salam ke kanannya dengan melafazkan; Assalamu 'alaikum warahmatullah wabarakaatuh, dan ke kiri dengan lafaz; Assalamu alaikum warahmatullah" (Sunan Abu Daud; 997).

Wallahu a'lam.

Rujukan;

1. Minhaj at-Tolibin, Imam an-Nawawi.
2. Mughni al-Muhtaj, Syeikh al-Khatib as-Syirbini.
3. Kasysyaf al-Qina' 'an Matn al-Iqna', Syeikh Mansur al-Bahuti (1/361).

MEMBERI SALAM TANPA MENOLEH KE KANAN ATAU KE KIRI

Soalan; Salam ustaz. Mohon bertanya ustaz.
Mengenai menoleh ketika memberi salam dalam solat. http://fiqh-am.blogspot.my/2009/06/solat-memberi-salam.html?m=1Saya musykil apakah dalil boleh untuk tidak menoleh dan memadai jika hanya memandang ke hadapan. Saya pernah terbaca riwayat dari perlakuan isteri Nabi S.A.W tapi adakah dalil lain mengenai hal ini ustaz? Terima kasih ustaz
Jawapan;

Terdapat hadis dari 'Aisyah RA yang menceritakan; "Nabi SAW memberi salam dengan sekali salam sahaja ke arah hadapannya" (Sunan at-Tirmizi; 296. Sunan Ibnu Majah; 919).

Berdalilkan hadis ini, dibolehkan memberi salam dalam solat sekali sahaja tanpa menolah ke kanan dan ke kiri. Namun yang sempurna ialah memberi salam dua kali; kali pertama dengan berpaling ke kanan dan kali kedua dengan berpaling ke kiri, berdalilkan hadis dari Ibnu Mas'ud RA yang menceritakan;

"Rasulullah SAW memberi salam (dengan menoleh) ke kanan dan ke kirinya hingga pipi baginda yang putih dapat dilihat (oleh orang yang solat dibelakangnya)" (Sunan at-Tirmizi; 295. Sunan Abu Daud; 996).

Wallahu a'lam.

Khamis, 20 Oktober 2016

ANTARA MENJAWAB AZAN DAN SOLAT TAHIYYATUL MASJID

Soalan; jika saya masuk ke dalam masjid dan azan sedang berkumandang. Mana yang terbaik; saya terus solat tahiyyatul masjid atau saya menjawab azan terlebih dulu, kemudian baru lakukan solat tahiyyatul masjid?

Jawapan; Sebaiknya jawablah azan terlebih dahulu dan membaca doa setelah azan, setelah itu barulah lakukan solat tahiyyatul masjid supaya kita dapat menghimpunkan kedua-dua fadhilat; iaitu fadhilat menjawab azan dan fadhilat melakukan solat tahiyyatul masjid. Kadar masa menjawab azan adalah singkat sahaja, maka tidak luput solat tahiyyatul masjid apabila seorang yang memasuki masjid berdiri seketika untuk menjawab azab sebelum melakukan solat tahiyyatul masjid (Kasyfu al-Ltsam, 1/39).
 
Dikecualikan pada hari jumaat apabila kita sampai ke masjid ketika azan kedua, maka sebahagian ulamak berkata; sebaiknya kita terus saja melakukan solat tahiyyatul masjid (tanpa menunggu untuk menjawab azan) agar kita dapat mendengar khutbah dari awal kerana mendengar khutbah lebih utama dari menjawab azan. Inilah yang difatwakan oleh mazhab Hanbali. Sebahagian ulamak berkata; yang afdhal kita lakukan sebagaimana yang dinyatakan awal tadi iaitu kita menjawab azan terlebih dahulu, kemudian baru lakukan solat tahiyyatul masjid agar kita memperolehi dua fadhilat. Pandangan inilah yang difatwakan oleh mazhab Syafiie.

Rujukan; 

1. Kasyfu al-Litsam (Syeikh Zainul 'Abidin bin Muhammad al-Fatoni), 1/39.
2. Fatawa as-Syabakah al-Islamiyyah (http://www.islamweb.net), no. fatwa; 33483, 1503.

Rabu, 19 Oktober 2016

MENYEMBAHYANGKAN DUA JENAZAH SEKALIGUS

Soalan; Ustaz, kalau suami-isteri meninggal kemalangan dan hendak disolatkan sekali, bagaimana susunan dan niatnya?

Jawapan; 

Yang terbaik ialah disolatkan satu jenazah demi satu jenazah. Boleh disolatkan bersekali iaitu jenazah lelaki diletakkan betul-betul di hadapan imam, diikuti jenazah perempuan. Jika ada jenazah kanak-kanak bersama, diletakkan jenazah lelaki di depan imam, diikuti kanak-kanak, kemudian wanita. (1)

Niatnya; berniat dalam hati; "Sahaja aku mensolatkan jenazah-jenazah di hadapanku ini, fardhu kifayah, kerana Allah".(2)

Wallahu a'lam.

Nota;

(1) Anwar al-Masalik, Imam
Ibnu an-Naqieb, hlm. 96.
(2) at-Taqriraat as-Sadidah, Syeikh Hasan al-Kaf, hlm. 382.

Selasa, 18 Oktober 2016

BENARKAH KENYATAAN "WANITA MEMILIKI 9 NAFSU DAN 1 AKAL"?

Soalan; ustaz, saya hendak tanya pasal orang perempuan ada 9 nafsu dan 1 akal, terbalik dengan lelaki (9 akal, 1 nafsu). Betul ke hal tu? Daripada hadis ke apa sumbernya?

Jawapan;

Dalam Soheh al-Bukhari, ditemui hadis menyebutkan; "Wanita kurang akal dan agamanya (berbanding lelaki). Kurang akal di mana kesaksian seorang wanita separuh kesaksian lelaki (*yakni dalam kesaksian, 4 saksi wanita menyamai 2 saksi lelaki). Kurang agama di mana wanita ketika haid tidak boleh lagi solat dan berpuasa (*lelaki pula boleh solat dan puasa sepanjang masa)" (Soheh al-Bukhari; 304. Dari Abu Sa'id al-Khudri RA).

Menurut Syeikh Dr. Mustafa al-Bugha; maksud hadis itu ialah melihat secara umum (umum kaum wanita berbanding kaum lelaki). Adapun secara khusus (individu), terdapat ramai wanita lebih berakal dari ramai orang lelaki.(1) 

Sebahagian ulamak berkata; maksud kurang akal dalam hadis di atas ialah dinisbah kepada hati, yakni; wanita dijadikan Allah dengan memiliki perasaan hati yang lebih kuat berbanding dengan penilaian akal/logiknya, berbeza dengan lelaki yang memiliki penilaian akal lebih kuat dari perasaan hatinya. Hal itu kerana tugas-tugas asasi wanita (mengandungkan anak, kemudian menyusuinya, menjaga dan mengasuhnya, melayani suami dan anak-anak dan sebagainya) memerlukan sifat kasih dan simpati yang berterusan dan sifat-sifat itu hanya lahir dari perasaan hati yang kuat dan tabah. Berkata Syeikh Sya'rawi; "Manusia memerlukan kasih sayang dan belaian seorang ibu dan kebijaksaan seorang bapa".(2)

Kurang agama pula bermaksud; kaum wanita diberi keringanan yang lebih dalam agama berbanding lelaki. Tuntutan agama ke atas mereka lebih ringan dari kaum lelaki, kerana itu digugurkan kewajipan solat dan puasa dari mereka sepanjang masa haid dan nifas, mereka tidak diwajibkan keluar berjihad, solat berjamaah dan solat jumaat.(3)

Adapun kenyataan "wanita memiliki 9 nafsu dan 1 akal", belum ditemui sumber hadisnya.

Wallahu a'lam.

Nota;

(1) Ta'liq 'ala Soheh al-Bukhari.
(2) Syabakah al-I'lam al-'Arabiyyah (http://www.moheet.com).
(3) Syabakah al-I'lam al-'Arabiyyah (http://www.moheet.com).

Jumaat, 14 Oktober 2016

HADIR LEWAT SOLAT JUMAAT TANPA MENDENGAR KHUTBAH

Soalan; uztaz, saya perhatikan ramai yang hadir Jumaat di hujung-hujung khutbah, jadi mereka tidak sempat mendengar khutbah, kalau dengar pun sedikit sahaja. Apa jadi pada solat jumaat mereka?

Jawapan;

Di dalam al-Quran, Allah memerintahkan orang beriman (khususkan kaum lelaki) agar segera menuju ke masjid untuk mendengar khutbah apabila sahaja mendengar seruan azan untuk solat jumaat. Mereka dikehendaki meninggalkan segala urusan mereka (jual-beli dan sebagainya). Setelah selesai solat jumaat, mereka boleh kembali kepada urusan mereka. Firman Allah;

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِذَا نُودِيَ لِلصَّلَاةِ مِنْ يَوْمِ الْجُمُعَةِ فَاسْعَوْا إِلَى ذِكْرِ اللَّهِ وَذَرُوا الْبَيْعَ ذَلِكُمْ خَيْرٌ لَكُمْ إِنْ كُنْتُمْ تَعْلَمُونَ
"Wahai orang-orang beriman, apabila diserukan azan untuk mengerjakan solat pada hari jumaat, hendaklah kamu segera untuk mengingati Allah dan tinggalkanllah jual-beli. Itu lebih baik bagi kamu jika kamu mengetahui. Kemudian apabila selesai solat, bolehlah kamu bertebaran di muka bumi..." (Surah al-Jumu'ah, ayat 9 dan 10).

Menurut  ulamak; maksud segera untuk mengingati Allah dalam ayat di atas ialah; segera untuk mendengar khutbah jumaat dan melakukan solat jumaat selepasnya.(1)  

Arahan Allah "dan tinggalkanlah jual-beli" menunjukkan bahawa segala jenis akad dan mu'amalah wajib ditinggalkan apabila mendengar azan jumaat. Masih menyibukkan diri dengannya pada ketika itu adalah haram di sisi Syariat.(3). 

Menurut mazhab Syafiie; orang yang wajib menghadiri solat jumaat, apabila matahari telah tergelincir dari tengah langit, makruh dia masih berjual-beli atau melakukan sebarang urusan yang menyibukkannya dari segera hadir mendengar khutbah jumaat. Namun apabila imam sudah berada di atas mimbar dan muazzin mula melaungkan azan, segala urusan tersebut tersebut menjadi haram (berdosa).(4) Menurut Imam Malik dan Imam Ahmad;jual-beli yang dilakukan setelah azan jumaat bukan sahaja haram, akan tetapi fasad (tidak sah). Menurut mazhab Syafiie; sekalipun haram, namun akad masih sah.(5)

Kesimpulannya, hadir lewat ke majlis solat jumaat hingga ketinggalan dari khutbah jumaat, perbuatan itu adalah dilarang kerana ia menyalahi arahan Allah dalam al-Quran. Adapun solat jumaat, menurut ulamak; seseorang itu dikira solat jumaatnya jika dia sempat mendapat satu rakaat bersama imam. Jika dia datang lewat hingga tidak mendapat satu rakaat bersama imam, solat jumaat tidak dikira baginya dan dia wajib menyambung solatnya menjadi solat zohor (yakni mencukupkan solat hingga 4 rakaat).(6)

Menurut fatwa Syeikh Dr. Muhammad Bakar Ismail; orang yang mengerjakan solat jumaat tanpa mendengar khutbah sedikitpun; solat jumaatnya sah, namun tidak berpahala kerana pahala solat jumaat dikira bersekali dengan mendengar khutbah. Sila baca jawapan saya sebelum ini; SOLAT JUMAAT TANPA MENDENGAR KHUTBAH.

Wallahu a'lam.

Nota;

(1) Lihat; Tafsir an-Nasafi, tafsir al-Qurtubi (pandangan Imam Ibnu al-'Arabi), Ahkam al-Quran (al-Kiya al-Harrasi), Tafsir Ayatil Ahkam (Syeikh 'Ali as-Sayis) (1/768) dan Tafsir Ayaatil Ahkam (Syeikh 'Ali as-Sobuni) (2/632).
(2) Ahkam al-Quran, al-Kiya al-Harasi (surah al-Jumu'ah, ayat 9).
(3) Tafsir Ayatil Ahkam (Syeikh 'Ali as-Sayis) (1/768).
(4) al-Majmuk, Imam an-Nawawi (4/500).
(5) Ahkam al-Quran, al-Kiya al-Harasi (surah al-Jumu'ah, ayat 9), al-Majmuk, Imam an-Nawawi (4/500-501) dan Tafsir Ayaatil Ahkam (Syeikh 'Ali as-Sobuni) (2/643).
(6) at-Taqriraat as-Sadidah (Syeikh 'Ali al-Kaf), hlm. 339.


Rabu, 12 Oktober 2016

AKAD NIKAH MELALUI TELEFON

Soalan; ustaz, adakah sah akad nikah melalui telefon dengan akad antara wali dan calon suami didengari oleh saksi-saksi melalui pembesar suara (load speaker)?

Jawapan;

Menurut keputusan Majmak al-Fiqh a-Islami (Himpunan ulamak untuk membahaskan isu-isu fiqh Islam); tidak boleh melakukan akad nikah melalui alat-alat perhubungan moden (telefon, faxs, internet dan sebagainya) kerana akad nikah mensyaratkan penyaksian (oleh saksi-saksi) (Muktamar ke 6, di Jeddah, bulan Sya'ban 1410, bersamaan Mac 1990).

Menurut mazhab Syafiie; saksi-saksi bagi akad nikah disyaratkan seorang yang dapat melihat, mendengar dan membuat kepastian (dhabt).(1) Syeikh Sulaiman al-Bujairmi menjelaskan; "Saksi hendaklah membuat kepastian terhadap lafaz-lafaz (akad) yang diucapkan oleh wali dan juga calon suami. Kerana itu tidak mencukupi dengan dia mendengar lafaz mereka dari ruang gelap (tanpa melihat mereka), kerana suara-suara boleh serupa" (Hasyiyah al-Bujairmi 'ala al-Khatib, 3/396). Berdasarkan penjelasan ini, saksi wajib hadir bersama ketika akad dilaksanakan (untuk melihat, mendengar dan membuat kepastian), maka tidak sah akad melalui telefon kerana saksi tidak hadir bersama sekalipun mereka dapat mendengar suara.

Wallahu a'lam.

Nota;

(1) Lihat; al-Iqna', Syeikh Khatib al-Syirbini.

Selasa, 11 Oktober 2016

PANDANGAN ISLAM TENTANG "HUKUM KARMA"

Soalan; ustaz, apakah Diterima hukum karma di dalam islam. Mohon penjelasan ustaz.

Jawapan;

"Hukum Karma" adalah konsep aqidah dari agama Hindu dan Budha. Pada luarannya ia adalah hukum sebab dan akibat (Baik mengakibatkan keelokan, jahat mengakibatkan keburukan). Hukum sebab dan akibat diakui oleh Islam, namun ia tidak berjalan sendiri, sebaliknya ia sebahagian dari sunnatullah. Menurut Islam, tidak ada yang berlaku di alam tanpa tertakluk kepada ketentuan Allah atau takdirNya.

Itu dilihat pada luaran hukum karma. Jika dibaca lebih lanjut tentang hukum karma, hakikat hukum karma terlalu jauh menyimpang dari aqidah Islam.

Di antara yang ditulis dalam Wikipedia versi Indonesia tentang hukum karma; "Sang Buddha menguraikan tentang Hukum Karma : 'Takdir adalah karma dari kumpulan perbuatan masa lalu. Karma masa lalu menjadi takdir pada kehidupan yang sekarang. Karma saat ini adalah pembentuk kehidupan selanjutnya" (https://id.wikipedia.org/wiki/Kitab_Hukum_Karma).

Dalam aqidah Islam, kehidupan kita hari ini tiada kaitan dengan karma masa lalu. Setiap bayi yang lahir, lahir di atas fitrah. Kelahirannya bukan dari karma dari yang silam, tetapi lahir dari takdir Allah, dengan kelahiran yang fitrah (bersih dari dosa dan tanggungan). Kerana itu para Fuqahak menegaskan; al-Asl baraatu az-zimmah (Asal setiap manusia adalah bebas tanggungan).

Disebutkan juga dalam sumber yang sama (contoh karma); "Kenapa di kehidupan ini anda hidup sebatang kara (anak yatim), Sebab di kehidupan yang lalu anda sering menembak burung".

Dalam akidah Islam, kehidupan kita yang lalu ialah kehidupan dalam perut ibu. Pada ketika itu, kita belum dianggap hidup, apatahlagi hendak dianggap mukallaf. Maka bagaimana orang yang belum hidup dan tidak mukallaf hendak dipertanggungjawabkan, kemudian dibalas dalam kehidupan hari ini bagi perkara yang dia tidak pernah lakukan.

Menurut aqidah Islam, manusia hanya akan dipertanggungjawabkan bermula dari saat dia akil baligh (mula dewasa dan berakal) dalam kehidupan di dunia ini. Dari saat itu perbuatan-perbuatannya dikira dan tertakluk dengan hukum-hakam Syariat Allah di dunia dan pembalasanNya di akhirat.

Wallahu a'lam.

Isnin, 10 Oktober 2016

JARAK PERJALANAN 2 MARHALAH; DIKIRA DALAM SEHALA ATAU DUA HALA?

Soalan;  ustaz, ketetapan jarak 2 marhalah untuk membolehkan kita solat jamak dan qasar, adakah dikira sehala (pergi sahaja), atau dikira dua hala iaitu pergi dan balik? Jawapan;

Jawapan;

Merujuk kepada kitab-kitab Fiqh semasa hari ini, jarak 2 marhalah ditetapkan -mengikut ukuran KM- antara 85KM - 90KM. Sebagai ihtiyat (berhati-hati), eloklah kita mengambil jarak 90 KM. Jarak dikira berdasarkan perjalanan sehala, iaitu dari kediaman kita ke tempat yang kita tujui. Sebagai contoh, perjalanan dari Kangar (Perlis) ke Alor Star (Kedah) jika sehala jaraknya adalah 50 KM dan jika dua hala jaraknya menjadi 100 KM. Maka perjalanan ini -menurut jumhur ulamak- tidak mengharuskan jamak dan qasar kerana jarak sehalanya tidak mencukupi 2 marhalah. Jika perjalanan adalah dari Kangar ke Gurun, barulah boleh menjamak dan mengqasarkan solat kerana perjalanan sehalanya mencapai 2 marhalah (iaitu +- 100KM).

Wallahu a'lam. 

Sabtu, 8 Oktober 2016

PUASA 'ASYURA (10 MUHARRAM); ADAKAH MESTI BERSAMA PUASA TASU'A (9 MUHARRAM)?

Soalan; ustaz, kalau saya berpuasa pada 10 Muharram sahaja, tanpa berpuasa sehari sebelumnya iaitu 9 Muharram, adakah puasa 'Asyura saya diterima?

Jawapan;

Disunatkan kita berpuasa pada kedua-dua hari tersebut (9 Muharram dan 10 Muharram). Sunat puasa pada 10 Muharram berdalilkan hadis dari Abu Qatadah RA yang menceritakan; Nabi SAW pernah ditanya berkenaan puasa pada hari 'Asyura (10 Muharram). Lalu baginda menjawab;

يُكَفِّرُ السَّنَةَ الْمَاضِيَةَ
“Puasa di hari itu akan menghapuskan dosa tahun yang lalu” (Hadis riwayat Imam Muslim; 1162/197).

Sunat puasa pada tanggal 9 Muharram pula berdalilkan hadis dari Ibnu ‘Abbas RA yang menceritakan; Tatkala Rasulullah SAW berpuasa pada hari ‘Asyura dan memerintahkan agar para sahabat turut berpuasa, mereka bertanya; ‘Ya Rasulullah! Bukankah ia (yakni ‘Asyura itu) merupakan hari yang diagungkan oleh Yahudi dan Nasara? Lalu baginda bersabda; "Jika Tahun akan datang, jika diizinkan Allah, kita akan berpuasa pada tanggal 9 (Muharram)". Berkata Ibnu ‘Abbas; ‘Belum sempat tiba tahun hadapan, Rasulullah SAW telah wafat’” (Soheh Muslim; 1134/133).

Berdasarkan hadis ini, kita disunatkan berpuasa pada kedua-dua hari iaitu hari ke 9 dan hari ke 10 Muharram kerana Nabi SAW telah berpuasa pada hari ke 10 dan berniat untuk berpuasa pada hari ke 9. 

Tujuan berpuasa pada hari ke 9 ialah untuk berbeza dengan amalan orang-orang Yahudi dan Nasara yang hanya berpuasa pada hari ke 10. Menurut ulamak; boleh juga hari ke 9 itu diganti dengan hari ke 11 (yakni berpuasa pada 10 Muharram dan 11 Muharram), berdalilkan hadis Nabi SAW;

صُومُوا يَوْمَ عَاشُورَاءَ، وَخَالِفُوا فِيهِ الْيَهُودَ، وَصُومُوا قَبْلَهُ يَوْمًا أَبُو بَعْدَهُ يَوْمًا
"Berpuasalah pada 'Asyura, akan tetapi hendaklah kamu berbeza dengan orang-orang Yahudi, iaitu dengan kamu turut berpuasa sehari sebelumnya atau sehari selepasnya" (Riwayat Imam Ahmad dalam Fadhail as-Sihabah; 1951. Musnad al-Bazzar; 5238. Dari Ibnu 'Abbas RA).

Ada kalangan ulamak menggalakkan berpuasa pada ketiga-tiga hari itu (9, 10 dan 11 Muharram), antaranya Imam Syafiie yang menyebutnya dalam kitabNya al-Umm (Lihat; Asna al-Matalib Syarh Raudh at-Talib, 1/431 dan Mughni al-Muhtaj, 2/184).

Jika kita hanya berpuasa pada 10 Muharram sahaja, adakah puasa kita diterima? Menurut Imam Syafiie; tidak mengapa jika hanya berpuasa pada 10 Muharram sahaja (1) (Lihat; Fahul Mu'in, hlm. 59 dan I'anatu at-Talibin, 2/301).

Kesimpulannya, dibolehkan kita berpuasa pada hari 'Asyura sahaja (10 Muharram), namun yang terbaik ialah kita berpuasa juga pada 9 Muharram atau pada 11 Muharram.

Wallahu a'lam.

Nota;

(1) Sebahagian ulamak berkata; makruh berpuasa pada 10 Muharram sahaja tanpa berpuasa sehari sebelumnya (9 Muharram) atau sehari selepasnya (11 Muharram), antara mereka ialah ulamak mazhab Hanafi (lihat; al-Mausu'ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 11/12).

Rujukan;

1. A-Z Soal-Jawab Puasa, Solat Terawih, Zakat Fitrah & Hari Raya, Ahmad Adnan Fadzil, hlm. 126.
2. Asna al-Matalib Syarh Raudh at-Talib, Syeikh Zakaria al-Ansar, 1/431.
3. Mughni al-Muhtaj, Syeikh al-Khatib al-Syirbini, 2/184.
4. Fathul Mu'in, hlm. 59.
5. I'anatu at-Talibin, Syeikh Abu Bakar ad-Dumyati, 2/301.


Jumaat, 7 Oktober 2016

CARA MENGIRA ZAKAT EMAS PERHIASAN

Soalan; ustaz, adakah barang emas yang saya pakai dikenakan zakat? Bagaimana cara mengira zakatnya?

Jawapan;

Menurut jumhur ulamak (mazhab Maliki, Syafiie dan Hanbali); emas yang dipakai wanita sebagai perhiasan -walaupun dipakai sekali dalam setahun- tidak dikenakan zakat, kecuali jika berlebihan barulah dikenakan zakat. Maksud berlebihan ialah yang melebihi kadar yang biasa dipakai oleh wanita-wanita setempat (yakni kadar uruf setempat), iaitu yang diputuskan oleh fatwa negeri-negeri seperti berikut;
1. Selangor; 800 gram
2. Wilayah Pesekutuan; 150 gram emas
3. Johor; 850 gram emas
4. Pulau Pinang; 165 gram
5. Sabah; 152 gram.
6. Negeri Sembilan; 200 gram
7. Kedah; 85 gram
8. Perak; 500 gram
9. Trengganu; 850 gram
10. Melaka; 180 gram
11. Kelantan; tiada 'uruf
12. Pahang; 500 gram
13. Perlis; tiada penetapan 'uruf (kerana fatwa negeri Perlis memakai pandangan Imam Abu Hanifah yang mewajibkan zakat ke atas semua emas yang dimiliki termasuk perhiasan).

Yang perlu dikira dalam penentuan kadar uruf itu ialah emasnya sahaja, tidak termasuk batu permatanya. Maka jika perhiasan emas yang dimiliki dan dipakai melebihi kadar di atas (mengikut negeri masing-masing) wajiblah dikeluarkan zakat ke atas kadar berlebihan bila cukup tempoh tahunannya. Kadar yang wajib dikeluarkan ialah; 2.5%. 

Contohnya; bagi wanita yang tinggal di Wilayah Persekutuan, katalah dia memiliki emas yang dipakai yang berat keseluruhan; 200 gram, maka perkiraan zakatnya ialah;

* 250 gram emas (berat emas yang dipakai) - 150 gram emas (iaitu kadar pemakaian uruf) = 100 gram (perhiasan yang masuk dalam hitungan zakat). 
Kadar zakat dikenakan; 100 gram x harga semasa emas x 2.5 %.
Katakanlah; harga semasa emas bagi 1 gram ialah RM 150, maka kadar zakatnya ialah;
100 gram emas x RM 150 x 2.5% = RM 375.

Adapun perhiasan emas yang tidak dipakai dalam setahun -walaupun sekali- ia mengambil hukum emas simpanan dan wajib dibayar zakat iaitu dengan dihitung bersama emas-emas yang lain jika ada (dinar emas, jongkong emas, emas perhiasan yang berlebihan tadi dan sebagainya) dan aset kewangan yang lain (saham, wang simpanan dan sebagainya) dan dikeluarkan zakatnya 2/5% jika nilai keseluruhannya menyamai atau melebihi 85 gram emas (iaitu kadar nisab zakat emas).

Huraian di atas adalah mengikut pandangan jumhur mazhab. Adapun menurut mazhab Hanafi, keseluruhan emas dikenakan zakat termasuk perhiasan sama ada perhiasan yang dipakai atau disimpan, yang berada dalam kadar 'uruf tadi atau yang berlebihan. Untuk membaca lebih lanjut perbahasan ulamak tentangnya, sila baca jawapan saya sebelum ini; (PERHIASAN; BILA WAJIB DIKELUARKAN ZAKAT?).

Rujukan;

1. Zakat Selangor (http://www.zakatselangor.com.my/jenis-jenis-zakat/zakat-harta/zakat-emas-perak/).
2. Wilayah Persekutuan (https://www.zakat.com.my/info-zakat/jenis-zakat/zakat-emas)
3. Zakat Johor (http://www.maij.gov.my/?page_id=110).
4. Zakat Pulau Pinang (http://www.zakatpenang.com/zpp/index.php/2013-06-30-10-54-31/jenis-zakat/zakat-emas-perak).
5. Zakat Sabah (http://www.zakat.sabah.gov.my/index.php?option=com_content&view=article&id=30&Itemid=157&lang=en).
6. Zakat Negeri Sembilan (http://www.zakatns.com.my/v5/info-zakat/jenis-zakat/zakat-emas-dan-perak).
7. Zakat Kedah (http://www.zakatkedah.com/services/zakat-emas/).
8. Zakat Perak (http://www.maiamp.gov.my/maiamp2/index.php/zakat/kalkulator/kalkulator-zakat-emas-perak.html).
9. Zakat Terengganu (http://www.maidam.gov.my/index.php/index.php/perkhidmatan-kami/pungutan-zakat/384-zakat-emas).
10. Zakat Melaka (http://www.izakat.com/index.php?option=com_content&view=article&id=7&Itemid=12&lang=bm).
11. Fatwa zakat emas Perlis (http://mufti.perlis.gov.my/index.php?option=com_content&view=article&id=66:muamalat-nilai-emas-yang-boleh-dihukum-pakaian&catid=34:fatwa-muamalat&Itemid=92).

Khamis, 6 Oktober 2016

ADAKAH MENYENTUH RAMBUT ISTERI MEMBATALKAN WUDHUK?

Soalan; ustaz, adakah rambut isteri boleh membatalkan wuduk suami jika disentuh?

Jawapan;

Menurut mazhab Syafie; bersentuhan kulit antara lelaki dan wanita bukan mahram(1) (tanpa berlapik) akan membatalkan wudhuk, termasuk antara suami dan isteri. Hanya menyentuh kulit membatalkan wudhuk. Adapun menyentuh rambut, gigi dan kuku, tidaklah membatalkan wudhuk (Hasyiyah al-Baijuri, 1/133).

Menurut mazhab-mazhab lain, bersentuhan antara lelaki dan wanita secara umumnya tidaklah membatalkan wudhuk kecuali dengan syahwat atau persetubuhan (jimak).

Wallahu a'lam.

Nota;

(1) Mahram ialah orang-orang yang haram dikahwini untuk selama-lamanya.

Rabu, 5 Oktober 2016

ADAKAH WAJIB MEMAKAI TUDUNG KETIKA MEMBACA AL-QURAN DI RUMAH?

Soalan; ustaz, ketika membaca al-Quran di rumah, adakah wajib kami orang perempuan menutup kepala. Adakah berdosa jika baca al-Quran dengan nampak rambut?

Jawapan;

Ketika membaca al-Quran dituntut memakai pakaian yang bersopan, berada di tempat yang elok dan dalam kedudukan yang elok, sesuai dengan ketinggian al-Quran. Namun tidaklah wajib menutup aurat dengan penuh sebagaimana ketika berada di luar rumah(1). Wanita yang membaca al-Quran dalam rumah tidak wajib menutup kepalanya (yakni memakai tudung). Syeikh 'Atiyah Saqar dalam fatwanya menyebutkan; "Diharuskan/dibolehkan seorang wanita membaca al-Quran dengan kepala terdedah atau dengan berpakaian yang biasa di pakai dalam rumah, asalkan tidak ada lelaki ajnabi yang melihatnya. Namun yang terbaik ialah dia memakai pakaian yang menutup aurat dengan sempurna, berwudhuk dan mengadap ke arah kiblat, supaya bertambah pahalanya".

Wallahu a'lam.

Rujukan; Fatawa Dar al-Iftak, Mesir; 8/419 (Syeikh 'Atiyah as-Saqar, Mei 1997).

Nota;

(1) Aurat wanita ketika bersendirian ialah; antara pusat dan lutut, yakni ketika bersendirian dibolehkan dia mendedahkan tubuhnya kecuali kawasan antara pusat dan lutut; wajib ditutup, tidak boleh didedahkan sekalipun bersendirian (Hasyiyah al-Bujairmi, 1/449).

Selasa, 4 Oktober 2016

SOLAT SUBUH BERIMAMKAN IMAM YANG TIDAK BACA QUNUT

Soalan; ustaz, di Perlis ada masjid yang imamnya tidak membaca qunut ketika solat subuh. Adakah boleh saya membaca qunut walaupun imam tidak membacanya?



Jawapan;


Menurut mazhab Syafiie; membaca qunut ketika solat subuh adalah sunat ab'adh iaitu sunat utama dalam solat yang dituntut sujud sahwi jika sunat itu ditinggalkan.


Namun ketika kita solat subuh berimamkan imam yang tidak membaca qunut (sama ada lupa atau kerana berpegang dengan pandangan mazhab yang tidak mensunatkan bacaan qunut), tidak perlu kita membaca qunut hingga menyebabkan kita akan ketinggalan dari imam. Semasa solat berjamaah, kita dituntut segera mengikut imam sebagaimana arahan Nabi SAW;


إِنَّمَا جُعِلَ الإِمَامُ لِيُؤْتَمَّ بِهِ، فَإِذَا كَبَّرَ فَكَبِّرُوا، وَإِذَا رَكَعَ فَارْكَعُوا، وَإِذَا سَجَدَ فَاسْجُدُوا
 
"Sesungguhnya imam dilantik untuk diikuti, maka apabila dia bertakbir hendaklah kamu turut bertakbir, apabila dia rukuk hendaklah kamu turut rukuk dan apabila dia sujud hendaklah kamu turut sujud"

(Soheh al-Bukhari; 378, dari Anas RA).


Apabila imam telah memberi salam, kita boleh melakukan sujud sahwi bagi menampung qunut yang tertinggal tadi, kemudian baru kita memberi salam.


Jika imam berdiri lama ketika iktidal (seperti yang dilakukan oleh sesetengah Imam Masjid Nabawi), kita boleh mengambil kesempatan tersebut untuk membaca qunut. Qunut boleh dengan sebarang doa sekalipun pendek. Didalam kitab Kifayatul Akhyar, dinyatakan; "Jika imam meninggalkan qunut sama ada kerana berpandangan tidak disunatkan qunut seperti seorang bermazhab Hanafi atau kerana terlupa, makmum janganlah berqunut jika mengetahui bahawa dia akan ketinggalan sujud bersama imam (jika berqunut). Namun jika dia mengetahui bahawa dia tidak akan ditinggalkan oleh imam, hendaklah dia berqunut"

 (Kifayatul Akhyar, hlm. 126).

Wallahu a'lam.


Ahad, 2 Oktober 2016

BROKER TANAH MENJUAL TANAH LEBIH TINGGI DARI HARGA TUAN TANAH

Soalan; saya menjadi broker jual-beli tanah. Tuan tanah berkata kepada saya; juallah tanah ini dengan harga RM 50 000 dan untuk kamu RM 10 000. Jika saya dapat jual dengan harga lebih dari harta itu (contohnya RM 60 000) adakah harus saya mengambil RM 10 000 untuk saya di samping komisyen yang dijanjikan tuan tanah?

Jawapan;

Muamalah di atas dalam fiqh Islam dipanggil samsarah. Pada dasarnya ia tertakluk kepada syarat yang disepakati bersama antara tuan/pemilik harta yang hendak dijual dan wakil penjualnya (broker). Bagi kes di atas, oleh kerana tuan/pemilik tanah telah menetapkan harga tanah, maka broker tidak boleh menjual melainkan dengan harga yang ditetapkan itu dan haknya ialah upah/komisyen yang dijanjikan itu. Jika broker menjual dengan harga lebih dari yang ditetapkan, wajib dirujuk semula kepada tuan/pemilik tanah. Jika dia menyetujuinya, keseluruhan wang jualan adalah miliknya. Bergantung kepadanya sama ada hendak memberi lebihan harga itu kepada broker atau tidak, kerana broker sudah ada haknya iaitu upah/komisyen yang dijanjikan.


Adapun jika tuan/pemilik tanah berkata; 'juallah tanah saya ini berapa saja harga yang kamu ingin jual, bayar kepada saya RM50 000 sahaja', maka bagi cara kedua ini, broker boleh menjual dengan harga melebihi dari yang diminta oleh tuan/pemilik tanah dan yang lebih itu adalah miliknya. Mu'amalah cara ini dibolehkan oleh sebahagian ulamak, antaranya Ibnu 'Abbas RA sebagaimana yang dinaqalkan oleh Imam al-Bukhari dalam Sohehnya; berkata Ibnu 'Abbas RA;

لاَ بَأْسَ أَنْ يَقُولَ: بِعْ هَذَا الثَّوْبَ، فَمَا زَادَ عَلَى كَذَا وَكَذَا، فَهُوَ لَكَ

"Tidak mengapa (yakni dibolehkan) untuk seorang berkata (kepada wakil/brokernya); 'Juallah pakaian ini. Bayaran yang lebih dari harga sekian sekian, maka ia adalah milik kamu'" (Soheh al-Bukhari, kitab al-Ijarah, bab Ujrah as-Samsarah).


Untuk membaca lebih lanjut perbahasan para ulamak dalam masalah di atas, sila baca jawapan saya sebelum ini; (KEDUDUKAN UNTUNG YANG DIAMBIL OLEH BROKER/AGEN/ORANG TENGAH).

Rujukan; fatwa as-syabakah al-islamiyah, no. 14008.


Sabtu, 1 Oktober 2016

ADAKAH DISUNATKAN BERPUASA PADA AWAL MUHARRAM (TAHUN BARU ISLAM)?

Soalan; ustaz, apakah terdapat puasa yang disunatkan pada awal muharram?

Jawapan;

Kelebihan berpuasa pada 1 muharram secara khusus tidak disebut oleh Nabi SAW dalam hadis-hadisnya, namun kelebihan berpuasa dalam bulan muharram secara umum ada disebut oleh baginda;
أَفْضَلُ الصِّيَامِ بَعْدَ رَمَضَانَ شَهْرُ اللَّهِ الْمُحَرَّمُ وَأَفْضَلُ الصَّلَاةِ بَعْدَ الْفَرِيضَةِ صَلَاةُ اللَّيْلِ
“Puasa yang paling baik selepas Ramadhan ialah puasa pada bulan Muharram. Solat yang paling baik selepas yang fardhu ialah solat malam” (Soheh Muslim; 1163/202). 

Menurut ulamak; berdasarkan hadis ini, kita digalakkan banyak berpuasa dalam bulan Muharram.

Sebahagian ulamak berkata; kelebihan bulan Muharram itu adalah kerana di dalamnya ada hari ‘Asyura (10 muharram). Abi Qatadah RA menceritakan; Nabi SAW pernah ditanya tentang berpuasa pada hari ‘Asyura? Baginda menjawab;
 يُكَفِّرُ السَّنَةَ الْمَاضِيَةَ
“Puasa di hari itu akan menghapuskan dosa tahun yang lalu” (Soheh Muslim; 1161/197).

Namun menurut Imam al-Qurthubi; ‘Kelebihan bulan Muharram adalah kerana ia merupakan awal tahun. Apabila seseorang menyambut awal tahunnya dengan berpuasa, adalah diharapkan Allah akan mencukupkannya pada bulan-bulan selebihnya. Puasa adalah antara amalan hamba yang terbaik (kepada Allah) dan pernah disebut oleh Nabi SAW sebagai dhiya’ (ضياء) yang bermaksud cahaya’ (Dinaqal dari kitab; Raudhatul-Muttaqien Syarh Riyadhus-Salihien, jil. 3, hlm. 182).

Rujukan;

1. Syarah Soheh Muslim, Imam an-Nawawi, 8/55.
2. Raudhatul-Muttaqien Syarh Riyadhus-Salihien, Syeikh Abdul Qadier 'Irfan, 3/182.
3. Al-Wajiz, Syeikh ‘Abdul-Aziem Badawi, hlm. 206.

Jumaat, 30 September 2016

MENGANGKAT TANGAN KETIKA KHATIB BERDOA DALAM KHUTBAH JUMAAT

Soalan; saya ada mendengar seorang ustaz berkata; mengangkat tangan ketika khatib berdoa dalam khutbah adalah bid'ah dan dicela oleh sahabat Nabi RA. Betulkah, ustaz?

Jawapan;

Ustaz tersebut mungkin merujuk kepada hadis dari Hushain bin Abdirrahman yang menceritakan; Aku berada di sebelah Umarah bin Ruaibah RA (seorang sahabat Nabi SAW) ketika Bisyr bin Marwan sedang berkhutbah. Ketika berdoa, Bisyr mengangkat dua tangannya. Lantas 'Umarah RA berkata; 'Semoga Allah mencela dua tangannya itu. Sesungguhnya aku telah menyaksikan Rasulullah SAW (berkhutbah) di mana baginda tidak pernah melebihi dari sekadar mengisyaratkan dengan tangannya seperti ini', sambil dia menunjukkan dengan jari telunjukkannya (Musnad Ahmad; 17224. Soheh Muslim; 874/53).

Namun jika kita perhatikan, yang dicela oleh 'Umarah RA adalah khatib yang berkhutbah. Kerana itu berdalilkan hadis tersebut, para ulamak -antaranya Imam an-Nawawi- menegaskan; Yang menjadi sunnah bagi khatib ialah tidak mengangkat tangan ketika berdoa di atas mimbar, kecuali bagi kes tertentu seperti doa minta hujan kerana ada hadis menceritakan Nabi SAW mengangkat tangan ketika berdoa memohon hujan di dalam khutbahnya (Syarah Soheh Muslim). Berkata as-Syaukani; hadis tersebut menunjukkan bahawa makruh mengangkat tangan ketika berdoa di atas mimbar dan ia adalah bid'ah (Nailul-Autar). 

Adapun makmum, ia tidak bersangkutan dengan hadis tersebut. Maka ia kekal di atas hukum asal iaitu disunat mengangkat tangan ketika berdoa atau ketika mengaminkan doa selama tangan tidak sibuk dengan suatu tugas/amalan. Dalil bagi galakan mengangkat tangan ketika berdoa atau mengaminkan doa cukuplah banyak dari hadis-hadis Nabi SAW, antaranya;

1. Sabda Nabi SAW;

إِنَّ اللَّهَ حَيِيٌّ كَرِيمٌ يَسْتَحْيِي إِذَا رفَعَ الرَّجُلُ إِلَيْهِ يَدَيْهِ أَنْ يَرُدَّهُمَا صِفْرًا خَائِبَتَيْنِ
"Seungguhnya Allah adalah Tuhan maha pemalu lagi maha pemurah. Dia malu (*dengan maksud yang layak bagiNya) apabila seorang lelaki mengangkat dua tangan (memohon) kepadaNya lalu Dia mengembalikan dua tangan itu dengan kosong dan hampa" (Sunan at-Tirmizi; 3556, dari Salman RA. Menurut at-Tirmizi; hadis hasan).

2. Abu Musa RA menceritakan; 

دَعَا النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِمَاءٍ فَتَوَضَّأَ بِهِ، ثُمَّ رَفَعَ يَدَيْهِ فَقَالَ: «اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِعُبَيْدٍ أَبِي عَامِرٍ» وَرَأَيْتُ بَيَاضَ إِبْطَيْهِ، فَقَالَ: «اللَّهُمَّ اجْعَلْهُ يَوْمَ القِيَامَةِ فَوْقَ كَثِيرٍ مِنْ خَلْقِكَ مِنَ النَّاسِ»
"Nabi SAW meminta air, lalu baginda mengambil wudhuk. Kemudian baginda mengangkat kedua tagannya dan berdoa; 'Ya Allah, kurniakanlah keampunan untuk 'ubayd Abi 'Amir'. Kata Abu Musa; aku melihat putihnya ketiak baginda. Baginda berdoa lagi; 'Ya Allah, jadikanlah dia pada hari kiamat lebih tinggi dari ramai makhlukMu dari kalangan manusia'" (Soheh al-Bukhari; 6383).

Berkata Imam an-Nawawi; telah sabit Nabi SAW mengangkat dua tangannya ketika berdoa dalam banyak tempat, tidak terbilang jika hendak dihitung. Dalam Soheh al-Bukhari dan Muslim sahaja aku boleh menghimpunkan lebih dari 30 hadis yang menyebutnya (Dinaqal dari Nailul-Autar).

Wallahu a'lam.


Rujukan;

1. Syarah Soheh Muslim, Imam an-Nawawi; 6/162.
2. Fatwa Majlis Fatwa UAE (Emirate Arab Bersatu), fatwa no. 152 (25 Februari 2008).
3. Nailul Autar, 3/322.


ADAKAH DITUNTUT MENJAWAB AZAN KETIKA SEDANG MENGAMBIL WUDHUK?

Soalan; ketika sedang mengambil wudhuk, saya terdengar azan, adakah saya perlu jawab azan itu? Ada orang kata semasa ambil wudhuk tidak boleh bercakap.

Jawapan;

Menurut Imam Ibnu Hajar al-Haitami dalam fatwanya; menjawab azab disunatkan sekalipun oleh orang yang sedang mengambil wudhuk. Makruh bercakap ketika wudhuk adalah bagi percakapan yang bukan zikir, adapun menjawab azan adalah zikir, maka tidak dimakruhkan, malah disunatkan megucapkannya. 

Jika selesai wudhuk bertepatan dengan habisnya azan, menurut Imam al-Bulqini; dahulukan bacaan zikir selepas wudhuk, kemudian baru bacaan selepas azan, kemudian doa untuk diri sendiri.

Wallahu a'lam.

Rujukan; al-Fatawa al-Kubra, Imam Ibnu Hajar al-Haitami (w974H), 1/60.

Khamis, 29 September 2016

BILA MASANYA HENDAK BERPALING KETIKA MEMBERI SALAM?

Soalan; ketika memberi salam di hujung solat; adakah kita memberi salam dulu baru berpaling ke kanan atau ke kiri, atau kita berpaling bersama-sama memberi salam?

Jawapan;

Mula-mula kita lafazkan "Assalamu alaikum" dengan muka masih menghadap ke kiblat, kemudian bila menyebut "Wa rahmatullah" barulah kita memalingkan muka ke kanan atau ke kiri. Dengan cara ini kita dapat mengelak dari berpaling ketika masih dalam solat kerana selagi belum melafazkan salam, selagi itu kita dikira masih dalam solat. Maka apabila kita melafazkan salam terlebih dahulu, kemudian baru berpaling, kita berpaling setelah menyelesaikan solat dengan melafazkan salam. 

Mengenai larangan berpaling dalam solat, ia disebut oleh hadis dalam Soheh al-Bukhari dari 'Aisyah RA yang menceritakan; Nabi SAW pernah ditanya tentang berpaling di dalam solat, lalu baginda menjawab;

«هُوَ اخْتِلاَسٌ يَخْتَلِسُهُ الشَّيْطَانُ مِنْ صَلاَةِ العَبْدِ»
"Perbuatan itu adalah salah satu cara Syaitan mencuri tumpuan seorang hamba dari solatnya" (Soheh al-Bukhari; 751).

Rujukan;

1. Syarah 'Umdatil Ahkam, Syeikh Dr. Mustafa al-Bugha.
2. al-Mughni, Imam Ibnu al-Qudamah, 1/399.

Isnin, 26 September 2016

SUAMI MELARANG ISTERI DARI MENZIARAHI DUA IBU-BAPANYA

Soalan; Adakah harus suami dengan sengaja –yakni tanpa sebab yang munasabah- melarang isteri dari pulang menjenguk ibu/bapanya, lagi pula mereka telah tua dan sakit?

Jawapan;

Berbuat baik kepada dua ibu-bapa merupakan tuntutan yang besar dalam Syariat Islam, begitu juga menghubungkan silaturrahim. Maka suami sebagai ketua keluarga, wajib mendorong isteri supaya melaksanakan tanggungjawabnya, bukan menghalangnya. Suami yang menghalang isteri dari menziarahi ibu atau bapanya (tanpa suatu sebab yang munasabah) –apatahlagi mereka telah tua dan sedang sakit- dia telah melakukan beberapa dosa;
1.    Dosa menghalang isteri dari menunaikan kewajipan kepada ibu-bapanya,
2.    Dosa menyebabkan terputusnya silaturrahim (ikatan kekeluargaan) antara isterinya dan keluarganya.
3.    Dosa tidak melayani isteri dengan cara yang sepatutnya.

Allah berfirman;

وَقَضَى رَبُّكَ أَلَّا تَعْبُدُوا إِلَّا إِيَّاهُ وَبِالْوَالِدَيْنِ إِحْسَانًا
“Dan Tuhanmu telah memerintahkan; janganlah kamu semua menyembah melainkan Dia dan berbuat-baiklah kepada dua ibu-bapa” (surah al-Israk, ayat 23).

Seorang wanita –sebagaimana juga lelaki- wajib berbuat baik dan berbakti kepada dua ibu-bapa. Sekalipun seorang wanita telah berkahwin, kewajipannya untuk berbuat-baik dan berbakti kepada dua ibu-bapanya –seperti yang disuruh oleh ayat di atas- tidak tamat terutamanya apabila mereka memerlukannya dan dia mampu menunaikannya.

Mengenai dosa memutuskan silaturrahim, Nabi SAW bersabda;

الرَّحِمُ مُعَلَّقَةٌ بِالْعَرْشِ تَقُولُ مَنْ وَصَلَنِي وَصَلَهُ اللهُ، وَمَنْ قَطَعَنِي قَطَعَهُ اللهُ
“Ikatan rahim (kekeluargaan) bergantungan di Arasyh Allah, di mana dia berseru; ‘Siapa menghubungkanku, nescaya Allah akan menghubungkannya (dengan rahmat dan kasih-sayangnyaNya) dan sesiapa memutuskanku, nescaya Allah akan memutuskannya (dari rahmat dan kasih-sayangNya)” (Soheh Muslim; 2555/17. Dari ‘Aisyah RA).

Difahami dari hadis ini bahawa suami yang menjadi penyebab terputusnya ikatan isterinya dengan keluarganya, dibimbangi Allah akan membalasnya dengan terputus ikatan rahmat dariNya, yakni dia akan terhadang dari mendapat rahmat Allah.

Di antara perintah Allah kepada suami ialah;

وَعَاشِرُوهُنَّ بِالْمَعْرُوفِ  
“Dan layanilah mereka (yakni isteri-isteri kamu itu) dengan cara yang sepatutnya” (surah an-Nisa’, ayat 19).

Menghalang isteri dari pulang menjenguk ibu-bapanya atau menziarahi keluarganya tanpa sebab yang munasabah bertentangan dengan layanan yang baik kepada isteri yang disuruh oleh ayat ini.

Mazhab Hanafi menyebutkan; suami tidak harus menegah isterinya dari keluar untuk menziarahi dua ibu-bapanya setiap kali jumaat (yakni seminggu sekali) dan bagi selain ibu-bapa pula ialah setahun sekali. Menurut Imam Abu Yusuf; jika dua ibu-bapa isteri berupaya untuk datang menziahari anak mereka di rumah suami, suami berhak menegahnya dari keluar. Jika mereka tidak mampu datang, wajib suami membenarkan isterinya untuk keluar menziarahi mereka.

Menurut mazhab Maliki; Tidak harus suami menegah isteri dari keluar menziarahi dua ibu-bapanya dan saudaranya –tanpa suatu sebab- jika terjamin keselamatannya.

Menurut mazhab Syafiie dan Hanbali; adalah menjadi hak suami untuk menegah isteri keluar dari rumah sekalipun untuk menjenguk dua ibu-bapanya atau menziarahi mereka ketika sakit atau menghadiri jenazah mereka dan isteri wajib mematuhinya, namun jika tanpa sebab yang munasabah perbuatannya itu adalah makruh (dibenci oleh Syarak).

Wallahu a’lam.

Rujukan;

1.    Al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Muyassarah; Az-Zawaj, Syeikh Dr. Muhammad Ibrahim al-Hafnawi, hlm. 287-288.

2.    Fatwa Dar al-Ifta’ al-Misriyyah (Mufti; Dr. Nasr Farid Wasil, no. fatwa; 6678, tahun 2001).

BELAJAR DAN MENGAMBIL IJAZAH MELALUI YOUTUBE?

Soalan: amalan-amalan yang diijazah oleh ulamak atau guru melalui youtube adakah sah untuk diamalkan. Apa itu dikira sebagai ijazah dari gu...